Bursa Malaysia tinggi pada awal dagangan

BeritaHarian Wed, Oct 20, 2021 10:31am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan Rabu dengan lebih tinggi berikutan persekitaran pemulihan ekonomi yang stabil selain disokong oleh keadaan pasaran komoditi yang meningkat.

Pada 9.06 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 5.15 mata kepada 1,611.12 daripada 1,605.97 yang dicatatkan pada akhir dagangan Isnin.

Indeks utama dibuka meningkat 5.86 mata kepada 1,611.83.

Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul.

Di pasaran pagi ini, sentimen adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 288 berbanding 167 manakala 333 lain tidak berubah, 1,495 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 248.05 juta unit bernilai RM147.61 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata sentimen pelabur kekal optimis, terutama kaunter-kaunter yang mencatat pemulihan manakala kaunter pengangkutan dan logistik pula sebaliknya seiring dengan prestasi penyusutan Indeks Kering Baltik yang merosot dalam lapan sesi berturut-turut.

Menurut firma pembrokeran itu, para pelabur dan peniaga berkemungkinan juga telah mengambil kedudukan masing-masing menjelang pembentangan Bajet 2022 pada akhir bulan ini.

Selain itu, harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah meningkat dengan paras harga minyak mentah melepasi paras AS$85 setong.

"Kami berpendapat bahawa bursa tempatan itu akan terus meningkat, seiring dengan prestasi kenaikan semalaman Wall Street.

"Segmen bahan binaan berkemungkinan dilihat lebih menarik susulan peningkatan permintaan dalam persekitaran pemulihan ekonomi serta seiring dengan kaunter pemulihan lain seperti perbankan dan pengguna manakala pembinaan dan hartanah juga dijangka mendapat sokongan daripada Bajet 2022.

"Malah, kaunter minyak dan gas juga kekal dilihat sebagai menarik dan menjadi tumpuan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB masing-masing naik tiga sen kepada RM8.34 dan RM5.33, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.24, Petronas Chemicals menambah tujuh sen kepada RM8.82 manakala IHH meraih 15 sen kepada RM6.81 dan Tenaga meningkat lima sen kepada RM9.87.

Bagi saham aktif, AirAsia X tidak berubah pada 9.5 sen manakala Tanco merosot setengah sen kepada 25 sen dan MMC Corp susut satu sen kepada RM1.96.

Kaunter paling untung menyaksikan Genetec melonjak 60 sen kepada RM45.98 manakala Aeon Credit Service dan Petronas Gas masing-masing naik 22 sen kepada RM13.80 dan RM17.18.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 36.68 mata kepada 11,851.05, Indeks FBMT 100 menokok 36.77 mata kepada 11,491.05, Indeks FBM Emas Syariah menambah 38.56 mata kepada 12,932.22, FBM 70 naik 49.93 mata kepada 15,553.21 dan FBM ACE meraih 42.66 mata kepada 7,224.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 51.0 mata kepada 15,896.29, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.65 mata kepada 214.06 dan Indeks Perladangan meningkat 14.03 mata kepada 7,057.25.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

2194 0.000
AAX 1.250
AEONCR 6.960
BURSA 7.460
PBBANK 4.140
PETGAS 18.100

Comments

Login to comment.