Sejarah unik Pos Malaysia pikat Brewer

BeritaHarian Wed, Oct 20, 2021 11:40am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Sejarah luar biasa yang dimiliki Pos Malaysia Bhd mendorong Charles Brewer menerima tawaran untuk menerajui syarikat mel nasional itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO).

Meskipun Pos Malaysia terus mencatat kerugian saban tahun, beliau tidak menganggap ia satu risiko ke atas pengalamannya lebih 35 tahun dalam bidang logistik meliputi bidang pos, bungkusan dan logistik ekspres di semua benua dan melawat lebih 110 negara.

"Saya sangat gembira menetap di Kanada dan bekerjasama dengan Canada Post. Namun, ketika diberi kesempatan untuk memimpin syarikat luar biasa yang kaya dengan sejarah luar biasa, saya menerimanya.

"Untuk memimpin pasukan luar biasa yang sangat bangga dengan apa yang mereka lakukan dan membolehkan saya kembali ke Malaysia, ternyata bukannya satu keputusan yang sangat sukar.

"Saya melihat ini sebagai peluang penting dan sangat menarik. Saya dengan penuh motivasi untuk menggalas tanggungjawab ini," katanya kepada BH.

Brewer yang juga bekas CEO DHL eCommerce berkata, prestasi perkhidmatan Pos Malaysia melonjak ketara sejak lebih dua bulan lalu selepas menerima impak besar COVID-19.

"COVID-19 memberi impak besar kepada penyedia logistik daripada aspek volum dan lonjakannya, saiz dan bentuk volum serta persekitaran yang sangat mencabar dalam operasi.

"Kami mengakui sebelum ini perkhidmatan Pos Malaysia tidak berada pada tahap yang diharapkan pelanggan, tetapi sejak lebih dua bulan lalu saya boleh katakan prestasi melonjak ketara.

"Pos Malaysia akan terus berusaha untuk meningkat lebih jauh dalam mewujudkan perkhidmatan sebagai peneraju pasaran dan berbeza," katanya.

Beliau berkata, pengalaman lebih 35 tahun dalam logistik akan dapat dimanfaatkan Pos Malaysia untuk merencana transformasi dari segi aspek perkhidmatan dan kewangan.

"Saya akan memanfaatkan pengalaman dan belajar untuk menghargai sejarah berharga Pos Malaysia dengan strategi memperkasa serta pemikiran ke hadapan bagi memenuhi keperluan dan peluang logistik.

"Agak terlalu awal untuk berkongsi sasaran jangka sederhana dan panjang untuk Pos Malaysia. Buat masa sekarang, 100 peratus fokus kami adalah terhadap taktik dan pelan pemulihan segera perniagaan," katanya.

Brewer memulakan karier bersama DHL pada 1984 dan menghabiskan 34 tahun di syarikat berkenaan membabitkan pelbagai peranan.

Beliau juga pernah menerajui operasi syarikat logistik global itu di beberapa negara termasuk Malaysia antara tahun 2004 hingga 2006 sebagai CEO DHL Express.

Sebelum dilantik sebagai CEO Pos Malaysia pada 1 Ogos lalu, Brewer berkhidmat di Canada Post berpangkalan di Ottawa.

Pos Malaysia yang ditubuhkan sejak awal 1800, dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Pos (PSD) memiliki lebih 20,000 kakitangan di seluruh negara.

Pada 1992, Pos Malaysia menjadi syarikat swasta sebelum disenaraikan di Bursa Malaysia pada September 2001.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
POS 0.480

Comments

Login to comment.