Bursa Malaysia berdepan aktiviti pengambilan untung

BeritaHarian Thu, Oct 21, 2021 10:33am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini tetapi merosot kemudiannya berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih susulan kenaikan baru-baru ini, kata peniaga.

Pada 9.08 pagi, indeks penanda aras itu rendah 2.35 mata kepada 1,603.97 daripada 1,606.32 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka 2.11 mata lebih kukuh kepada 1,608.43.

Suasana pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 199 berbanding 189, manakala 318 kaunter tidak berubah, 1,586 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 227.54 juta unit bernilai RM148.91 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota hari ini menjangka FBM KLCI berada dalam momentum positif hari ini sehingga menjelangnya pembentangan Bajet 2022 yang dijadualkan pada minggu hadapan.

"Kami juga meramalkan pemulihan dalam saham bertema melalui pembukaan semula aktiviti perniagaan di pelbagai segmen berikutan program vaksinasi yang sedang dijalankan.

"Sementara itu, harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah meneruskan kenaikan dengan MSM melepasi RM5,000, manakala minyak mentah diniagakan melebihi paras AS$85 setong," katanya.

Ia menambah, antara sektor yang menjadi tumpuan hari ini ialah pengguna, pembinaan dan tenaga boleh baharu.

"Kaunter tenaga dan perladangan dijangka meningkat berikutan pengukuhan harga minyak mentah dan MSM, manakala saham teknologi mungkin kembali mendapat perhatian selepas tidak mencatatkan banyak perubahan baru-baru ini dan prestasi semalaman Wall Street yang positif," katanya.

Katanya, secara teknikal, paras rintangan yang berikutnya dikesan pada 1,620 manakala paras sokongan pada 1,580.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank rendah tiga sen kepada RM8.28, Public Bank susut satu sen kepada RM4.26, Petronas Chemicals meningkat empat sen kepada RM8.84, Tenaga naik enam sen kepada RM9.82 dan IHH tidak berubah pada RM6.60.

Dalam kalangan saham aktif, CSH menambah satu sen kepada RM13.5 sen, Supermax jatuh 19 sen kepada RM2.06 dan Bumi Armada tidak berubah pada 53 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 11.75 mata kepada 11,805.77, Indeks FBMT 100 susut 16.01 mata kepada 11,441.10, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 5.30 mata kepada 12,868.68, FBM 70 susut 18.83 mata kepada 15,466.65, dan FBM ACE merosot 26.77 mata kepada 7,258.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 36.22 mata kepada 15,901.54, namun Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.08 mata kepada 212.53, dan Indeks Perladangan naik 17.68 mata kepada 7,045.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ARMADA 0.585
BURSA 7.470
PBBANK 4.240
SUPERMX 0.830

Comments

Login to comment.