Bursa Malaysia jatuh 14.70 mata

BeritaHarian Thu, Oct 21, 2021 07:45pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Khamis dengan lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung dalam kebanyakan kaunter berkaitan indeks, didahului oleh saham-saham di FBM ACE, penjagaan kesihatan dan telekomunikasi, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.91 peratus atau 14.70 mata kepada 1,591.62 berbanding 1,606.32 pada akhir dagangan Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.11 mata lebih tinggi kepada 1,608.43 dan bergerak dalam jajaran 1,590.34 hingga 1,608.92 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 753 berbanding 349 manakala 413 kaunter lain tidak berubah, 777 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.85 bilion unit bernilai RM3.47 bilion berbanding 4.29 bilion unit bernilai RM3.11 bilion pada Rabu.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks utama serantau juga berada dalam wilayah negatif yang turut disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung.

"Kami menjangkakan pasaran saham tempatan kekal positif walaupun terdapat beberapa aktiviti pengambilan untung. Ini berikutan ia mendapat sokongan aliran masuk dana asing yang kukuh.

"Malah, negara ini juga sedang dalam proses melonggarkan kawalan pergerakan. Oleh itu, kami menjangkakan sentimen pasaran yang positif itu akan turut memberi manfaat ke atas saham-saham berharga rendah dalam masa terdekat ini," katanya kepada Bernama.

Beliau turut menjangkakan indeks utama itu akan berlegar dalam jajaran 1,600 hingga 1,610 menjelang akhir minggu ini.

"Dari sudut teknikal, kami melihat paras rintangan segera pada 1,625 manakala paras sokongan pada 1,565," katanya.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 11 sen kepada RM8.20, Public Bank turun empat sen kepada RM4.23, Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM8.81, IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.60 dan Tenaga berkurangan satu sen kepada RM9.75.

Bagi saham aktif, Kanger International tidak berubah pada lima sen, Serba Dinamik turun satu sen kepada 37 sen manakala saham Supermax susut 20 sen kepada RM2.05 selepas produk syarikat itu dilarang daripada memasuki pelabuhan Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa hari ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 94.17 mata kepada 11,723.35 manakala Indeks FBMT 100 berkurangan 95.49 mata kepada 11,361.62.

FBM 70 susut 92.57 mata kepada 15,392.91, FBM ACE menokok 86.18 mata kepada 7,198.94 manakala Indeks FBM Emas Syariah merosot 88.37 mata kepada 12,785.61.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 151.39 mata kepada 15,786.37 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 1.39 mata kepada 211.06 dan Indeks Perladangan naik 11.03 mata kepada 7,038.50.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 2.62 bilion saham bernilai RM3.16 bilion berbanding 2.72 bilion bernilai RM2.71 bilion pada akhir Rabu.

Jumlah waran meningkat kepada 436.03 juta unit bernilai RM69.86 juta berbanding 498.97 juta unit bernilai RM72.54 juta, sebelumnya.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 795.47 juta saham bernilai RM242.36 juta daripada 1.06 bilion saham bernilai RM327.36 juta, sebelum ini.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 429.08 juta juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (716.93 juta), pembinaan (87.23 juta), teknologi (248.17 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (116.21 juta), hartanah (249.50 juta), perladangan (114.69 juta), REIT (6.23 juta), dana/tertutup (60,400), tenaga (347.48 juta), penjagaan kesihatan (154.49 juta), telekomunikasi dan media (34.68 juta), pengangkutan dan logistik (95.23 juta) dan utiliti (21.94 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
IHH 6.120
KANGER 0.055
PBBANK 4.150
SUPERMX 0.810

Comments

Login to comment.