Opcom, Global Forway teroka sektor 5G

BeritaHarian Fri, Oct 22, 2021 04:12pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Opcom Holdings Bhd menandatangani perjanjian kerjasama dengan Global Forway Sdn Bhd untuk membentuk syarikat usaha sama (JV) 60:40, Opcom Vision Sdn Bhd dalam usaha menerokai sektor 5G.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, Opcom berkata kedua-dua pihak membawa kepakaran dan pengalaman yang melengkapi kepada perkongsian itu, yang akan memperkuatkan nilai cadangan JV dalam usaha tender untuk mendapatkan kontrak.

Pengerusi Opcom, Datuk Mazlin Junid, berkata kerajaan menunjukkan dengan jelas fokus untuk mempersiapkan Malaysia menuju kepada ekonomi berasaskan teknologi tinggi melalui pelbagai inisiatif dan polisi, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Ini mendorong ke arah digitalisasi, namun, ia memerlukan penambahbaikan liputan 4G negara dan mempercepatkan pelancaran 5G.

"Dalam hal ini, kami melihat pelbagai peluang untuk kami menyumbang ke arah aspirasi digital kerajaan untuk negara ini," katanya.

Mazlin berkata, Global Forway mempunyai lesen dan kepakaran yang diperlukan untuk Opcom bagi memperluas rangkaian perkhidmatannya merangkumi perkhidmatan nilai tambah.

"Perkhidmatan ini merangkumi perkhidmatan penyambungan yang membabitkan akses internet khusus dan jalur sewa 'point-to-point', perkhidmatan keselamatan seperti pengendalian pemantauan keselamatan, serta perkhidmatan pusat data yang merangkumi perkhidmatan lokasi bersama dan akses internet pusat data ke perkhidmatan awan," katanya.

Beliau menambah, kerjasama dengan Global Forway melalui Opcom Vision akan membolehkan kumpulan memanfaatkan kepakaran kolektifnya untuk mengambil kesempatan dalam pelbagai peluang, serta meningkatkan rantaian nilai untuk menambah baik keuntungan dan mencipta nilai yang lebih besar kepada pemegang taruh.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Global Forway, Datuk Seri Vincent Gey, berkata dengan pengalaman Opcom dalam pembuatan dan pemasangan kabel fiber optik, ditambah dengan lesen dan kemampuan Global Forway dalam perkhidmatan rangkaian, perkongsian itu akan meletakkan syarikat dalam kedudukan yang baik untuk menawarkan kontrak yang berbeza skop di bawah JENDELA dan pelancaran 5G.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
HEXCAP 0.380

Comments

Login to comment.