LBS catat untung bersih RM18.1 juta

BeritaHarian Thu, Nov 25, 2021 02:44pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, LBS Bina Group Bhd, merekodkan keuntungan bersih RM18.1 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (Q3FYE21), meningkat 3.2 peratus berbanding suku sebelumnya.

Pendapatan kumpulan itu bagi suku dikaji adalah sebanyak RM254 juta, menurun sedikit berbanding RM265.9 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, pendapatan dan keuntungan bersihnya masing-masing melonjak sebanyak 15 peratus dan 153.7 peratus kepada RM922.4 juta dan RM60.0 juta, berbanding tempoh sama pada 2020.

Menurut pemaju hartanah itu dalam kenyataan, projek pembangunan di Lembah Klang menyumbang lebih daripada 81 peratus pendapatan syarikat bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (9MFYE21).

Katanya, peningkatan itu juga adalah sebahagian besarnya berikutan kadar pengambilan positif serta kemajuan pembinaan yang stabil bagi projek pembangunan berterusan LBS di KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Taman Perindustrian Alam Awana, Residensi Bintang Bukit Jalil dan Cameron Centrum.

"Kedudukan dan kesetaraan tunai LBS bagi 9MFYE21 berjumlah RM197.4 juta, meningkat 30.4 peratus berbanding 9MFYE20.

"LBS seterusnya turut mengumumkan bahawa kini terdapat 20 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM5.65 bilion di samping bank tanah untuk pembangunan masa hadapan seluas 2,794 ekar dengan anggaran GDV berjumlah RM24.3 billion dan jualan belum dibilkan sebanyak RM2.17 billion," katanya.

Sementara itu Pengerusi Eksekutif LBS Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS mampu mengekalkan pertumbuhan pendapatannya hasil daripada pelancaran projek-projek yang dirancang dengan teliti di samping usaha berterusan kakitangan untuk terus maju dengan memperoleh jualan dan tempahan walaupun terkesan daripada penularan pandemik COVID-19.

"Oleh itu, keputusan suku tahunan ini adalah ganjaran yang menguntungkan dan kami berharap supaya usaha ini dapat diteruskan sehingga ke akhir tahun 2021.

"Sehingga 21 November 2021, kami telah berjaya memperoleh RM1.10 bilion bagi jualan dan tempahan dalam perancangan sebanyak RM950.2 juta. Berbanding sasaran awal, kami telah mencapai 92 peratus daripada sasaran jualan 2021 yang ditetapkan pada RM1.2 bilion.

"Ini menunjukkan bahawa kami berada di landasan yang betul dan terus menyediakan rumah mampu milik yang memenuhi keperluan rakyat. Berdasarkan laporan Statistik Biro Perumahan, Malaysia masih mengalami kekurangan sebanyak sejuta unit rumah kediaman mampu milik," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

LBS 0.735

Comments

Login to comment.