Pendapatan MRCB merosot 34 peratus

BeritaHarian Fri, Nov 26, 2021 06:27pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Pendapatan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menyusut 34 peratus kepada RM590.3 juta dan kerugian sebelum cukai sebanyak RM62.6 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, berbanding kerugian sebelum cukai RM190.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

MRCB dalam satu kenyataan berkata, pendapatan lebih rendah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan PKP penuh yang mengakibatkan penutupan tapak pembinaan antara Jun hingga Ogos 2021, tempoh lebih lama berbanding 2020, yang kemudiannya disusuli dengan gangguan rantaian bekalan bahan binaan.

"Ini Ini memberi kesan ketara kepada kemajuan pembinaan yang telah terjejas oleh sekatan COVID-19 dan kekurangan pekerja yang berterusan," katanya.

Menurut MRCB, kumpulan itu mencatatkan pengurangan kerugian sebanyak 67 peratus disebabkan peruntukan RM197.4 juta daripada rosot nilai aset kontrak, perdagangan dan hutang yang belum terima lain akibat wabak pada 2020.

Bahagian Pembangunan Hartanah & Pelaburan merekodkan penurunan pendapatan 29 peratus kepada RM345.9 juta dan penurunan 60 peratus dalam keuntungan kepada RM17.6 juta dalam tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021, berbanding masing-masing RM489.4 juta dan RM44.4 juta dalam tempoh yang sama pada 2020.

Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan & Alam Sekitar pula mencatatkan pendapatan RM206.5 juta dan kerugian RM51.7 juta dalam tempoh dikaji.

Syarikat usaha sama projek LRT3 MRCB, Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd (SULSB) (dahulunya dikenali sebagai MRCB George Kent Sdn Bhd), menyumbang keuntungan selepas cukai sebanyak RM18.8 juta berbanding RM1.6 juta dalam tempoh yang sama pada 2020, disebabkan kemajuan pembinaan yang lebih tinggi.

Berikutan pemerolehan baki 50 peratus kepentingan ekuiti, SULSB kini adalah anak syarikat tidak langsung milik penuh, dan kumpulan kini akan dapat mengiktiraf 100 peratus keuntungan daripada SULSB pada masa hadapan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

GKENT 0.475

Comments

Login to comment.