TM labur lebih RM1 bilion tambah baik rangkaian unifi

BeritaHarian Tue, Nov 30, 2021 04:55pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) melabur lebih RM1 bilion tahun ini bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dari segi keupayaan sokongan pelanggan dan penambahbaikan rangkaian.

Ketua Pegawai Rangkaiannya, Mohamed Tajul Mohamed Sultan, berkata pelaburan besar yang disuntik syarikat telekomunikasi itu adalah untuk memastikan unifi terus menjadi perkhidmatan jalur lebar yang tiada tandingan.

"Peningkatan penggunaan dan permintaan perkhidmatan unifi susulan pandemik telah mendorong syarikat untuk mempertingkatkan sambungannya.

"Maklum balas orang ramai menunjukkan kualiti perkhidmatan unifi sememangnya antara yang terbaik. Tetapi ini tidak membuatkan kami berdiam begitu sahaja.

"Kami ingin terus meningkatkan kualiti perkhidmatan kami ke tahap yang lebih tinggi kerana pengalaman pelanggan adalah sangat penting," katanya dalam taklimat media secara maya hari ini.

Yang turut serta, Ketua Pegawai Pemasaran TM, Shanti Jusnita Johari,

Sementara itu, TM menerusi unifi memperkenalkan lima inisiatif #unificares, sekali gus memperkukuhkan komitmennya bagi mengubah pengalaman pelanggannya secara menyeluruh.

Mengulas mengenainya, Shanti Jusnita berkata, sebagai syarikat teknologi, unifi memahami bahawa jangkaan pelanggan berevolusi seiring dengan penerimaan teknologi.

"Ini sebabnya unifi menyasarkan untuk mengubah pengalaman pelanggan secara menyeluruh dengan fokus yang diperbaharui bagi memastikan keperluan pelanggan dipenuhi. Inilah janji unifi," katanya.

Lima inisiatif inovatif #unificares merangkumi jaminan baik pulih perkhidmatan dalam 24 jam untuk mempertingkatkan pengalaman jalur lebar dengan mengurangkan tempoh tiada perkhidmatan (downtime) kepada tahap yang paling minimum.

Menerusi inisiatif ini, sekiranya tidak dapat dipulihkan dalam tempoh 24 jam daripada masa aduan dikemukakan, pelanggan akan menerima pampasan rebat bil sejumlah RM50, yang boleh dituntut menerusi aplikasi myunifi dalam tempoh 30 hari.

TM berkata, inisiatif itu adalah yang pertama seumpamanya dalam industri telekomunikasi tempatan dan komitmen kepada strategi unifi mengutamakan pelanggan.

Jaminan baikpulih perkhidmatan dalam 24 jam ini bermula hari ini dan kelayakan menerima pampasan adalah untuk pelanggan yang melanggan pakej 100Mbps dan ke atas.

Satu lagi inovasi yang diperkenalkan menerusi kempen itu ialah Makluman Perkhidmatan Proaktif (Proactive Service Alert); satu sistem pengesanan dan intervensi awal yang memastikan notifikasi awal dan baik pulih pantas buat pelanggan.

Di bawah inisiatif ini, pelanggan yang terbabit akan dimaklumkan berkenaan proses baik pulih menerusi SMS dan notifikasi di aplikasi myunifi.

Inisiatif berfokuskan pelanggan lain yang turut diperkenalkan sempena kempen itu adalah aplikasi layan diri Easyfix, Service Tracker dan pakar unifi Elite.

Easyfix adalah aplikasi layan diri berasaskan visual yang mudah yang membolehkan pelanggan memeriksa dan melakukan kenal pasti masalah (troubleshoot) secara pantas terhadap sambungan internet, perkhidmatan telefoni atau unifi TV.

Sekiranya sesuatu isu tidak dapat diselesaikan, Easyfix akan secara automatik membuat laporan atau 'service ticket' untuk tindakan segera oleh unifi Care Crew atau menghubungkan pelanggan kepada ejen live chat untuk bantuan lanjut.

Easyfix boleh diakses pada bila-bila masa menerusi aplikasi myunifi di bawah 'Support' atau di easyfix.com.my.

Service Tracker pula membolehkan pelanggan melihat dan mengetahui status permohonan bantuan perkhidmatan dan teknikal secara masa nyata termasuk butiran TM Care Crew yang ditugaskan, menerusi aplikasi myunifi.

Pengguna boleh mengakses Service Tracker di bawah 'My Activity' daripada laman Account mereka.

Bagi unifi Elite pula, ia adalah sekumpulan pakar WiFi yang dilatih khusus untuk memberikan pelanggan khidmat nasihat dan penyelesaian tersendiri bagi meningkatkan pengalaman sambungan mereka sama ada di premis kediaman ataupun perniagaan.

Shanti Jusnita berkata, bagi memenuhi janji itu, TM telah melabur dalam jumlah yang banyak sejak sekian lama untuk keupayaan sokongan pelanggan serta rangkaiannya bagi membawakan pengalaman pelanggan terbaik.

"Inisiatif #unificares yang baharu ini juga menggambarkan komitmen syarikat terhadap pelanggannya yang kekal setia. unifi mempunyai milikan pasaran tertinggi dalam kalangan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) tempatan.

"TM dan unifi akan melaksanakan segala yang termampu dari segi kepuasan pelanggan. Jaminan baik pulih pelanggan dalam tempoh 24 jam ini adalah yang pertama seumpamanya dalam industri. Ini komitmen kami terhadap para pelanggan unifi untuk terus menikmati pengalaman jalur lebar terbaik," katanya.

Beliau berkata, langkah berani unifi itu adalah bagi memenuhi permintaan pelanggan yang memerlukan sambungan yang diyakini, sama ada dari segmen pengguna mahupun perniagaan, khususnya ketika perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menumpukan kepada usaha pemulihan dan pertumbuhan serta pengguna yang terus bekerja dan belajar secara hibrid susulan pandemik.

"Akses jalur lebar yang stabil dan diyakini sememangnya sangat penting dalam norma baharu," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

TM 6.040

Comments

Login to comment.