SEDANIA catat keuntungan lebih tinggi

BeritaHarian Thu, Dec 02, 2021 10:29am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: SEDANIA Innovator Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM2.06 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021, meningkat daripada hanya RM50,000 pada suku sama tahun lalu.

Pendapatan syarikat dalam suku dikaji meningkat lebih 300 peratus kepada RM10.25 juta berbanding RM2.5 juta pada suku sama tahun lalu.

Prestasi itu membolehkan keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2021 SEDANIA berada paras tertinggi mencecah RM10.17 juta.

Pengasas dan Pengarah SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata syarikat melihat prestasi yang stabil dengan margin keuntungan sihat daripada segmen iaitu Healthtech dan Greentech.

"Prestasi dan momentum berterusan kami didorong oleh permintaan pasaran yang kukuh untuk perkhidmatan tenaga lestari dan produk organik teknologi kesihatan," katanya dalam satu kenyataan.

Ini kali pertama SEDANIA merekodkan pendapatan yang mencecah paras RM38 juta bagi tempoh sembilan bulan, dengan margin keuntungan sebanyak 26.7 peratus.

Keuntungan sebelum cukai bagi suku ketiga 2021 pula melonjak kepada RM2.30 juta berbanding RM20,000 dalam tempoh yang sama tahun lalu, berikutan strategi pengurangan kos operasi kepada nisbah hasil yang lebih rendah dan hasil jualan yang memberangsangkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Ruppert, berkata pendapatan daripada produk organik penjagaan kesihatan pada suku ketiga 2021 meningkat 47.6 peratus di peringkat antarabangsa berbanding suku pertama lalu apabila produk berjenama Offspring berjaya menembusi 19 negara tahun ini.

"Strategi pertumbuhan 'perniagaan ke perniagaan ke pengguna' (B2B2C) yang agresif ini membuahkan hasil dengan margin keuntungan sebelum cukai sebanyak 26.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

SEDANIA 0.185

Comments

Login to comment.