Kurang minat belian heret turun nilai ringgit

BeritaHarian Mon, Dec 06, 2021 07:29pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan kekurangan minat belian selepas pelabur kekal tidak memasuki pasaran bagi menilai perkembangan pertumbuhan ekonomi global, kata seorang peniaga.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan lebih rendah kepada 4.2310/2340 berbanding dolar AS daripada 4.2290/2320 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit tidak menentu berbanding dolar AS dengan unit tempatan meningkat sehingga 4.223 pada sesi dagangan awal sebelum melemah sekitar 4.2315.

"Ia berlaku walaupun Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) bagi November hadir di bawah jangkaan kepada 210,000 berbanding unjuran pasaran 550,000.

"Kebimbangan yang semakin meningkat terhadap varian terkini (COVID-19) Omicron, menunjukkan bahawa risiko penurunan kepada pertumbuhan masih tinggi, membawa kepada permintaan yang lebih baik untuk mata wang selamat iaitu dolar AS," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, ia dicerminkan dalam kenaikan dicerminkan dalam kenaikan Indeks Dolar AS (DXY) kepada 96.291, mewakili peningkatan 0.81 peratus daripada penutupan sebelumnya.

"Justeru, perhatian kini tertumpu kepada Omicron dan perkembangannya termasuk kemungkinan langkah sekatan mobiliti manusia," tambahnya.

Ringgit diniagakan kebanyakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0899/0925 daripada 3.0844/0870 pada penutup Jumaat, melemah berbanding yen Jepun kepada 3.7363/7393 daripada 3.7316/7346, dan jatuh berbanding euro kepada 4.7810/7844 daripada 4.7771/7805 sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound British kepada 5.6095/6134 daripada 5.6182/6222 ketika ditutup pada Jumaat.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BIMB 2.510

Comments

Login to comment.