Bursa Malaysia dibuka rendah

BeritaHarian Mon, Dec 20, 2021 11:22am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Dagangan di Bursa Malaysia memulakan minggu urus niaga pagi ini lebih rendah selepas mencatatkan paras tinggi seharian pada Jumaat minggu lepas, didorong oleh kegiatan pengambilan untung sederhana yang membabitkan kaunter wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada 9.27 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 3.30 mata kepada 1,498.71 berbanding 1,502.01 minggu lalu.

Indeks utama dibuka lemah sebanyak 4.44 mata kepada 1,497.57.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 309 berbalas 145 manakala 265 kaunter tidak berubah, 1,585 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 370.41 juta unit bernilai RM229.76 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pelabur mungkin menantikan data kadar inflasi Malaysia yang dijadualkan dikeluarkan minggu ini.

"Secara umum, kami menjangkakan saham berwajaran tinggi diniagakan lebih tinggi berikutan aktiviti memperelok akaun akhir yang diramal akan muncul.

"Selain itu, peniaga akan kekal bertahan dan memilih sektor utiliti dengan usaha berterusan kerajaan menentang varian Omicron," katanya.

Pada Jumaat, ia berkata FBM KLCI meneruskan keuntungan untuk sesi ketiga apabila saham wajaran tinggi terpilih melonjak berikutan aktiviti pengimbangan semula FTSE.

"Bagaimanapun, memandangkan Wall Street telah jatuh dengan ketara pada Jumaat lalu ekoran kebimbangan mengenai peningkatan kes Omicron COVID-19 serta lebih banyak dasar monetari yang cenderung menaikkan kadar faedah, kami boleh menjangkakan sedikit penyusutan dalam ekuiti tempatan," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 1.0 sen kepada RM8.09, IHH Healthcare naik 3.0 sen kepada RM6.57, manakala Public Bank susut 2.0 sen kepada RM4.06, Petronas Chemicals turun 7.0 sen kepada RM8.73 dan TNB lemah 13 sen kepada RM9 .38.

Bagi saham aktif, ATA IMS tidak berubah pada 68 sen, Borneo Oil naik setengah sen kepada 3.0 sen, Top Glove menambah 13 sen kepada RM2.29 dan Careplus lebih tinggi 8.0 sen kepada RM1.09.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 23.45 mata kepada 10,896.87, Indeks FBMT 100 susut 23.01 mata kepada 10,599.70, dan Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 13.69 mata kepada 11,730.94.

FBM 70 jatuh 28.63 mata kepada 13,971.22 dan FBM ACE susut 20.02 mata kepada 6,257.80.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kerugian 0.92 mata kepada 195.88, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 37.90 mata kepada 15,245.18, dan Indeks Perladangan lemah 46.75 mata kepada 6,383.22.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ATAIMS 0.285
BORNOIL 0.010
BURSA 7.460
IHH 6.250
PBBANK 4.230

Comments

Login to comment.