AZRB beli tanah industri di Batang Kali

BeritaHarian Sat, Jan 15, 2022 09:35am - 3 days View Original


Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB)

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB), Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB) memeterai perjanjian jual beli dengan Associated Concrete Products (Malaysia) Sdn Bhd dan Persys Sdn Bhd untuk pembelian hartanah bernilai RM41 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AZRB berkata harta yang dimaksudkan itu adalah sebidang tanah perindustrian pegangan bebas seluas kira-kira 19.26 hektar di Batang Kali, Ulu Selangor dan kilang yang didirikan di atas tanah berkenaan.

"Cadangan pembelian itu memberi peluang kepada AZSB untuk menggunakan tanah perindustrian untuk mengembangkan lagi pengeluaran dalaman komponen konkrit pratuang serta berfungsi sebagai stor atau depoh untuk AZSB," kata AZRB.

Ia menambah bahawa tapak itu juga mempunyai potensi perniagaan yang baik kerana lokasinya yang strategik, kebolehcapaian dan mempunyai jaringan jalan penghubung dari pusat bandar raya Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan di susur keluar persimpangan Rawang.

Pembelian yang dicadangkan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar kepada AZRB.

Bagaimanapun, memandangkan cadangan pembelian itu akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank, tahap kadar hutang AZRB akan meningkat, katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AZRB 0.220
BURSA 6.320

Comments

Login to comment.