IOI Corp manfaat jentera kurangkan pekerja asing

BeritaHarian Tue, Jan 18, 2022 11:17am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: IOI Corporation Bhd (IOI Corp) bercadang menggunakan jentera bagi proses pengumpulan buah tandan segar (BTS) dalam semua ladang sawit miliknya di Malaysia dan Indonesia menjelang 2027.

AmInvestment Bank dalam nota penyelidikannya berkata, penggunaan jentera adalah usaha pengeluar sawit itu untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dalam jangka panjang.

Ia berkata, ketika ini, hanya 50 peratus ladang sawit IOI Corp menggunakan jentera.

"IOI Corp bercadang menjadikan proses pengumpulan BTS dalam semua ladang sawit secara mekanisme menjelang 2027. Ini bermakna bahawa pemungut dan kereta sorong berjentera akan digunakan dalam semua ladang sawit IOI Corp di Malaysia dan Indonesia menjelang 2027," katanya.

Dalam pada itu, AmInvestment Bank berkata, IOI memohon pengambilan beberapa ribu orang pekerja asing pada tahun ini.

Ia berkata, kedatangan pekerja asing, jika ada, dijangka membantu meringankan kekurangan tenaga kerja IOI Corp, iaitu sekitar 20 peratus pada masa ini.

Mengenai kesan banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, AmInvestment Bank berkata, IOI Corp dijangka tidak terkesan secara ketara oleh bencana yang berlaku itu.

Katanya, ia berikutan hanya dua ladang milik syarikat itu di Pahang dengan keluasan 4,000 hektar dilanda banjir yang surut dalam tempoh dua hari, manakala ladang sawit kumpulan berkenaan di Sabah dan Johor tidak dilanda banjir.

Justeru, AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'pegang' kepada saham IOI Corp dengan nilai wajar bagi harga saham syarikat itu kekal pada RM3.95 sesaham.

Ia juga menaikkan unjuran untung bersih IOI Corp bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 15.1 peratus dengan mengambil kira keberkesanan kadar cukai rendah sebanyak 25 peratus berbanding 31 peratus sebelumnya.

"IOI Corp dijangka tidak terkesan oleh Cukai Makmur di Malaysia dan cukai pendapatan sumber asing," katanya.

AmInvestment Bank juga menjangkakan pengeluaran BTS syarikat perladangan itu akan susut sebanyak 4.5 peratus kepada 2.8 juta tan bagi tahun kewangan 2022.

Ia berkata, selepas kelemahan pada separuh pertama 2022, output BTS IOI Corp akan pulih dalam bulan-bulan akan datang dipacu pemulihan hasil BTS.

"Kami jangka kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) IOI Corp kepada antara RM1,750 satu tan dan RM1,800 satu tan bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM1,700 satu tan pada tahun kewangan 2021.

"Peningkatan kos pengeluaran setiap tan adalah disebabkan kos baja yang lebih tinggi dan penurunan dalam jumlah pengeluaran. Kami berpendapat bahawa kos baja IOI Corp akan meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus pada tahun kewangan 2022," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

IOICORP 3.990

Comments

nazr zach
Like · Reply
That's the way to go!!!

Login to comment.