ROVR perkenal isian bahan api mini pertama

BeritaHarian Tue, Jan 18, 2022 01:07pm - 2 years View Original


BEAUFORT: ROVR, perkhidmatan pengisian semula mudah alih daripada Petronas Dagangan Bhd (PDB) melancarkan Sistem Kontena Mudah Alih Mini (PCS Mini) pertamanya, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyediakan akses bahan api yang lebih mudah kepada penduduk Kampung Limbawang, dekat sini.

PDB dalam satu kenyataan berkata, PCS Mini ini direka untuk menyediakan perkhidmatan di kawasan terpencil, yang terletak 10 kilometer atau lebih dari stesen minyak, sebagai sebahagian daripada Pelan Pembangunan Luar Bandar ROVR dan program komuniti kementerian.

Ia bertujuan bagi memastikan masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada keperluan asas yang mencukupi pada harga yang sama seperti di kawasan bandar.

Dengan akses yang lebih mudah kepada bahan api pada harga pam runcit, masyarakat luar bandar akan dapat menjalankan aktiviti harian mereka dengan mudah, sekali gus membantu mempromosikan pembangunan usahawan berskala kecil dan meningkatkan ekonomi tempatan.

Semasa fasa perintis bermula akhir November 2021, PCS Mini dengan kapasiti 5,000 liter, yang beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 7 malam, sudah melayani hampir 3,500 kenderaan dan mengagihkan lebih 30,000 liter bahan api setakat ini.

PDB merancang untuk memperluaskan inisiatif ini ke lebih banyak kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak dengan tapak yang mempunyai jarak sejauh 50 kilometer dari stesen minyak terdekat.

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan kementerian untuk memperkenalkan PCS Mini di Beaufort, Sabah. Pelancaran penyelesaian inovatif ini menandakan satu peristiwa penting dalam usaha kami bagi memastikan akses tenaga yang penting untuk menjana pertumbuhan sosial dan ekonomi.

"Tambahan pula, ROVR terbukti penting semasa krisis, berkhidmat di kawasan larangan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) termasuk kawasan yang dilanda banjir dan pelancaran ini mengesahkan lagi strategi kami untuk menyediakan penyelesaian perniagaan yang kukuh yang juga memenuhi keperluan masyarakat dan selaras dengan janji bagi menjadikan hidup anda lebih mudah serta lebih baik, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Alexander berkata, pelancaran kerjasama itu adalah seiring dengan misi kementerian bagi meningkatkan jangkauan melalui usaha kemasyarakatan dengan kaedah yang sistematik, selamat dan diperkasakan masyarakat.

ROVR memberi perkhidmatan kepada perniagaan di Lembah Klang, Pahang dan Johor dengan menawarkan penghantaran bahan api secara langsung.

Ia juga memberi perkhidmatan kepada pemandu harian dalam komuniti yang terjejas oleh banjir serta bencana lain apabila diperlukan.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

PETDAG 21.660

Comments

Login to comment.