Bursa Malaysia teruskan trend penurunan

BeritaHarian Thu, Jan 20, 2022 07:08pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup rendah 0.17 peratus hari ini berikutan jualan berterusan dalam kaunter wajaran tinggi yang diterajui Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.58 mata kepada 1,527.75 daripada 1,530.33 sewaktu ditutup pada Rabu selepas dibuka rendah 0.89 mata kepada 1,529.44.

Indeks utama itu turun naik di antara 1,525.45 dengan 1,532.82 pada sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan suasana pasaran bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 518 berbanding 402, manakala 416 kaunter tidak berubah, 913 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.39 bilion unit bernilai RM2.25 bilion daripada 3.57 bilion unit bernilai RM2.61 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI hari ini bergerak pada sekitar paras sokongan 1,530 dan syarikat broker saham dalam talian itu berpendapat pengumpulan saham akan muncul apabila harga saham menjadi murah.

"Kami akan terus mengekalkan pandangan optimis namun berhati-hati dan menjangka aktiviti belian semasa harga rendah akan berlaku, di samping terus berwaspada ekoran ketidaktentuan yang meningkat di pasaran seluruh dunia.

"Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan diniagakan pada julat 1,530 hingga 1,540 menjelang akhir minggu ini," katanya kepada Bernama.

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang pertama bagi tahun ini.

Dalam saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.24, Public Bank dan IHH Healthcare merosot satu sen masing-masing kepada RM4.17 dan RM6.55, manakala Petronas Chemicals jatuh tiga sen kepada RM8.95 dan CIMB berkurangan lapan sen kepada RM5.25.

Sementara itu, Press Metal meningkat 24 sen kepada RM6.12, Petronas Gas menambah lapan sen kepada RM16.82 dan TNB tidak berubah pada RM9.07.

Bagi saham aktif, Coraza yang mula disenaraikan di Pasaran ACE menokok 36.5 sen kepada 64.5 sen, Dagang NeXchange meningkat 5.5 sen kepada 96.5 sen, G3 Global dan MMAG masing-masing tidak berubah pada lapan sen, manakala Ageson turun satu sen kepada 2.5 sen dan SMTrack berkurangan setengah sen kepada 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 5.99 mata kepada 10,980.61, Indeks FBM Emas Syariah menokok 33.26 mata kepada 11,702.35, FBM ACE naik 69.57 mata kepada 6,161.13, FBM 70 menambah 76.51 mata kepada 13,565.30, dan Indeks FBMT 100 susut 0.46 mata kepada 10,685.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 65.78 mata kepada 15,778.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tinggi 2.19 mata kepada 201.24, manakala Indeks Perladangan menambah 8.07 mata kepada 6,678.99.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama jatuh kepada 2.11 bilion saham bernilai RM1.88 bilion daripada 2.35 bilion saham bernilai RM2.37 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 378.96 juta unit bernilai RM43.54 juta daripada 260.14 juta unit bernilai RM25.76 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 897.06 juta saham bernilai RM324.49 juta berbanding 953.68 juta saham pada Rabu bernilai RM212.41 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 498.54 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (409.57 juta), pembinaan (214.79 juta), teknologi (455.39 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (67.73 juta), hartanah (165.81 juta), perladangan (12.61 juta), REIT (7.52 juta), dana tertutup (7,000), tenaga (154.02 juta), penjagaan kesihatan (41.41 juta), telekomunikasi dan media (32.42 juta), pengangkutan dan logistik (24.05 juta) dan utiliti (25.14 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AGES 0.075
BURSA 7.460
DNEX 0.345
G3 0.020
IHH 6.030
PBBANK 4.210
PETGAS 17.540
SMTRACK 0.050

Comments

Login to comment.