Harga komoditi dorong peningkatan Bursa Malaysia

BeritaHarian Wed, Mar 02, 2022 10:13am - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan urus niaga pagi ini lebih tinggi, dirangsang oleh pengukuhan harga komoditi serta pembelian bersih oleh dana asing, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.03 mata kepada 1,604.47 daripada 1,596.44 pada penutup semalam.

Indeks utama itu naik 4.69 mata ketika dibuka kepada 1,601.13.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 174 berbanding 161, manakala 222 kaunter tidak berubah, 1,690 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung

Jumlah dagangan adalah sebanyak 167.07 juta unit bernilai RM96.86 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, pelabur mungkin menyaksikan minat dagangan membabitkan kaunter perladangan di tengah-tengah kekurangan minyak bunga matahari sekiranya ketegangan antara Russia dan Ukraine terus meningkat.

"Kami menjangkakan situasi tidak menentu ini akan berterusan selain aktiviti pengambilan untung di peringkat tempatan terutama dengan insiden geopolitik yang berterusan," katanya.

Pihaknya juga percaya bahawa saham tenaga, berkaitan logam dan pengguna masih menjadi antara sektor teratas untuk diperhatikan.

"Oleh itu, paras sokongan ditetapkan sekitar 1,570-1,580, manakala rintangan pada 1,615," tambahnya.

Saham wajaran tinggi Bursa, Maybank naik lima sen kepada RM8.95, Petronas Chemicals menambah 19 sen kepada RM9.79, Press Metal meningkat dua sen kepada RM6.81, Public Bank kekal pada RM4.42, dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM6.56.

Bagi saham aktif, Bioalpha Holdings menokok 1.5 sen kepada 16.5 sen, Hibiscus Petroleum mengukuh tiga sen kepada RM1.25 dan KNM menokok setengah sen kepada 16 sen.

Di papan indeks, FBM ACE meningkat 18.24 mata kepada 5,890.59, FBM 70 mengembang 34.28 mata kepada 13,554.30, Indeks FBM Emas meraih 51.14 mata kepada 11,421.99, Indeks FBMT 100 naik 49.60 mata kepada 11,099.09 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi sebanyak 53.80 mata kepada 12,145.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 106.32 mata kepada 16,555.00, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.41 mata kepada 211.23, manakala Indeks Perladangan mengukuh 107.51 mata kepada 8,431.33.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BIOHLDG 0.085
BURSA 7.460
FBMKLCI 1551.420
HIBISCS-PA 2.010
IHH 6.120
PBBANK 4.180

Comments

Login to comment.