Sedania tawar penyelesaian untuk bank digital

BeritaHarian Thu, May 12, 2022 11:32am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Sedania Innovator Bhd (Sedania) bersedia untuk mempercepatkan penggunaan perbankan digital dengan menawarkan penyelesaian sepenuh kepada penerima lesen perbankan digital Malaysia yang diumumkan baru-baru ini.

Ia akan dilaksanakan menerusi anak syarikat teknologi kewangan (fintech), Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (SASC) dan rakan usaha sama teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif SASC, Khairul Nisa Ismail, berkata antara syarikat terpilih di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 ialah konsortium membabitkan AEON Credit Service (M) Bhd, yang pada masa ini menggunakan Penyelesaian Dagangan Tawarruq Bersepadu SASC untuk Institusi Kewangan Islam.

Beliau berkata, satu lagi pelanggan Sedania adalah sebahagian daripada konsortium yang turut meraih satu daripada tiga lesen konvensional di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

"Menerusi usaha sama dengan SASC, pelanggan ini menawarkan produk pembiayaan patuh Syariah kepada pengguna platformnya. Kami gembira apabila pelanggan sedia ada memperoleh lesen perbankan digital yang dinanti-nantikan, sama ada konvensional mahupun Islamik.

"Kami bersedia menyokong pelanggan dengan melancarkan penyelesaian yang sedia digunakan dalam tempoh masa singkat. Selain itu, kami berhasrat untuk meneroka peluang menjalinkan usaha sama dengan tiga lagi pemegang lesen perbankan digital.

"SASC memiliki keupayaan teknologi dan pengalaman untuk melengkapkan usaha membangun dan mengukuhkan infrastruktur perbankan digital mereka. Sehingga kini, kami membantu lebih 80 klien menerusi Platform Komoditi Digital berasaskan API yang dipatenkan oleh kami, membolehkan keupayaan pemprosesan secara terus bagi produk runcit pengguna Islam," katanya dalam kenyataan.

Pada 29 April lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan lima pemohon berjaya mendapatkan lesen bank digital yang diluluskan oleh Menteri Kewangan Malaysia.

Tiga penerima yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 ialah konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd; konsortium yang diterajui oleh GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd dan konsortium yang diterajui oleh Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd.

Penerima yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 pula ialah konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc, selain konsortium yang diterajui oleh KAF Investment Bank Sdn Bhd.

© New Straits Times Press (M) Bhd

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AEONCR 7.250
RHBBANK 5.520
SEDANIA 0.190

Comments

Login to comment.