AirAsia tambah pesawat menjelang Julai

BeritaHarian Thu, May 12, 2022 08:58pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan AirAsia akan menambah pesawat secara berperingkat menjelang Julai ini bagi menampung permintaan penumpang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, komitmen itu diberikan semasa pertemuan antara pihaknya bersama AirAsia hari ini yang disertai Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat; Ketua Setiausaha KPDNHEP, Azman Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) KPDNHEP, Datin Roszanina Wahab.

Menurut Nanta, menerusi penerangan teknikal dan justifikasi rentetan isu kelewatan rangkaian penerbangan AirAsia baru-baru ini, pihak syarikat telah memaklumkan usaha mitigasi bagi mengelak kejadian itu berulang.

"Ia merangkumi penambahan pesawat secara berperingkat (berbanding 40 ketika ini) bagi menampung permintaan, terdekat menjelang Julai dan aduan pelanggan akan diselesaikan menerusi empat saluran AirAsia," kata Nanta menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Selain itu, Nanta berkata AirAsia Bhd (bukan AirAsia X) memberi pulangan wang kepada penumpang, tanpa sebarang isu.

Menurut Nanta, AirAsia juga bersetuju untuk memberi kerjasama berkaitan isu pengguna dan pihak kementerian akan terus mengadakan libat urus dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, Nanta berkata empat punca kelewatan penerbangan AirAsia disebabkan jumlah pesawat yang terhad, kekangan operasi dan kawal selia, isu teknikal yang turut terkait dengan 'pintasan burung' pada enjin pesawat serta panahan kilat terhadap pesawat selain keadaan cuaca.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AAX 1.240

Comments

Login to comment.