Pertumbuhan kukuh ekonomi pacu Bursa Malaysia

BeritaHarian Fri, May 13, 2022 08:24pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini dengan indeks petunjuk pasaran meningkat 0.37 peratus apabila prospek ekonomi memberangsangkan atas sokongan pertumbuhan 5.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini telah meningkatkan sentimen pasaran, kata seorang penganalisis.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.61 mata kepada 1,544.41 daripada paras penutup 1,538.80 pada Khamis.

Indeks utama itu yang dibuka tinggi naik 7.18 mata kepada 1,545.98, bergerak antara paras 1,541.15 dan 1,551.33 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 658 berbanding 317, manakala 402 kaunter tidak berubah, 866 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.17 bilion unit bernilai RM2.51 bilion daripada 3.61 bilion unit bernilai RM2.51 bilion pada Khamis.

Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong, berkata FBM KLCI melantun semula daripada sesi tidak menentu semalam apabila prestasi indeks utama mendapat rangsangan daripada data KDNK yang lebih kukuh daripada jangkaan bagi suku pertama 2022.

Terdahulu hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia melantun semula pada suku pertama 2022, mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2021.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, ekonomi domestik dijangka bertambah baik lagi tahun ini dengan pertumbuhan diunjur antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus pada 2022.

"Dengan Malaysia memasuki peralihan ke fasa endemik bulan ini, kami menjangkakan peningkatan lagi pertumbuhan KDNK pada suku-suku yang akan datang," Jelas Leong.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut 11 sen kepada RM8.96, Public Bank turun 10 sen kepada RM4.53, IHH Healthcare dan CIMB turun satu sen masing-masing kepada RM6.44 dan RM5.04, manakala Petronas Chemicals naik 12 sen kepada RM9.99.

Dalam kalangan saham cergas, Serba Dinamik meningkat 3.5 sen kepada 12 sen, MNC, DGB dan Techna-X semua kekal tidak berubah masing-masing pada dua sen, dua sen dan 11.5 sen, manakala KNM menokok dua sen kepada 17.5 sen dan DNeX meningkat tujuh sen kepada RM1.

Di papan indeks, FBM ACE menokok 112.85 mata kepada 5,342.63, Indeks FBM Emas menambah 57.76 mata kepada 11,010.80, Indeks FBMT 100 meningkat 46.78 mata kepada 10,687.26, Indeks FBM Emas Shariah naik 166.63 mata kepada 11,468.41 dan FBM 70 meningkat 89.77 mata kepada 13,056.61.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 167.11 mata kepada 16,534.37, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.32 mata kepada 196.79 dan Indeks Perladangan meningkat 157.39 mata kepada 8,179.28.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.12 bilion saham bernilai RM2.32 bilion daripada 2.45 bilion saham bernilai RM2.29 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran turun kepada 305.24 juta unit bernilai RM58.76 juta berbanding 345.22 juta unit bernilai RM68.47 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 736.17 juta unit bernilai RM132.24 juta daripada 820.02 juta unit bernilai RM149.96 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 285.40 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (303.90 juta), pembinaan (107.26 juta), teknologi (206.80 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (67.77 juta), hartanah (158.99 juta), perladangan (73.78 juta), REITs (12.49 juta), dana tertutup (14,000), tenaga (754.61 juta), penjagaan kesihatan (62.22 juta), telekomunikasi dan media (18.01 juta), pengangkutan dan logistik (49.05 juta) dan utiliti (22.47 juta).

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin depan berikutan cuti ganti sempena sambutan Hari Wesak yang jatuh pada Ahad dan operasinya akan disambung semula pada Selasa.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.360
FBMKLCI 1535.000
IHH 6.100
PBBANK 4.100
TECHNAX 0.010

Comments

Login to comment.