Perniagaan Boustead bakal disusun semula

BeritaHarian Mon, May 16, 2022 11:53am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mempertimbangkan kemungkinan untuk mengeluarkan perniagaan berkaitan pertahanan daripada syarikat miliknya, Boustead Group.

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman, berkata langkah itu adalah antara idea yang ditinjau pengurus dana persaraan angkatan tentera itu untuk memantapkan perniagaan Boustead Group sejajar dengan penstrukturan semula konglomerat itu ke arah perniagaan yang lebih lestari.

Beliau berkata, perniagaan berkaitan pertahanan dalam Boustead Group mewujudkan lebih banyak ketidaktentuan memandangkan agak sukar untuk menilainya, terutama bagi pengurus dana dan penganalisis.

"Kami sedang menstruktur semula kumpulan ini (Boustead Group) dengan menimbang sama ada untuk mengeluarkan perniagaan pertahanan daripada entiti senaraian awam bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan semasa seperti perladangan, farmaseutikal dan sejajar pelan menstruktur semula dengan tumpuan dalam Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Lagipun, terdapat banyak isu yang timbul dengan mempunyai perniagaan pertahanan bagi kumpulan yang memberi tumpuan kepada ESG," katanya pada sesi 'MIDF Conversations', baru-baru ini.

Ahmad Nazim berkata, LTAT juga tidak bercadang untuk menjadikan Boustead Holdings Bhd sebagai syarikat persendirian, sebaliknya memberi tumpuan untuk meningkatkan nilai kumpulan itu.

Beliau berkata, LTAT juga komited untuk meningkatkan nilai syarikat miliknya yang lain termasuk Affin Bank dan Pharmaniaga Bhd.

Mengulas mengenai laporan bahawa LTAT meninjau pembangunan di tanah kem tentera Batu Cantonment di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur menerusi usaha sama, Ahmad Nazim berkata, cadangan itu akan dilaksanakan menerusi usaha sama dengan syarikat lain.

Beliau berkata, pembangunan kawasan kem seluas 112 hektar itu susulan rancangan untuk memindahkan kem berkenaan ke kawasan lain memandangkan adalah tidak sesuai untuk kem tentera berkenaan terus berada di tengah-tengah bandar.

"Salah satu idea adalah untuk pembangunan semula kawasan kem itu menerusi usaha sama dengan pihak lain," katanya.

Ditanya sama ada LTAT akan melantik Boustead Properties Bhd sebagai rakan usaha sama, Ahmad Nazim berkata, sudah pasti pengurus dana itu akan mempertimbangkan syarikat dalam kumpulannya menjadi rakan usaha sama.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

2771 0.000
AFFIN 2.440
PHARMA 0.335

Comments

Login to comment.