LBS untung RM409j

HarianMetro Fri, May 20, 2022 07:00am - 1 year View Original


PEMAJU perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) merekodkan hasil keuntungan sebanyak RM409.02 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (Q1FYE2022).

Bagi tempoh dalam tinjauan itu, LBS merekodkan hasil keuntungan lebih tinggi berbanding RM402.55 juta pada suku pertama 2021 (Q1FYE2021).

Keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai masing-masing sebanyak RM54.26 juta dan RM33.80 juta yang diterjemahkan dari peningkatan tahun ke tahun dengan 2.14 peratus dan 2.7 peratus.

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patmi) dicatatkan sebanyak RM30.16 juta dengan peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 20 peratus meskipun berhadapan konflik peperangan Rusia dan Ukraine yang memberi kesan kepada peningkatan harga barangan mentah.

Segmen pembangunan hartanah masih merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan Kumpulan di mana rekod pembangunan hartanah mencatatkan peningkatan kepada 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, iaitu RM393.48 juta, dengan peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 1.0 peratus.

Pendapatan yang stabil ini didorong oleh kadar pengambilan positif daripada projek-projek di Lembah Klang seperti Residensi Bintang Bukit Jalil, LBS Alam Perdana dan KITA @ Cybersouth.

Syarikat turut mengumumkan bahawa projek pembangunan di Lembah Klang sudah menyumbang lebih daripada 80 peratus daripada pendapatan hasil Syarikat bagi Q1FYE2022.

Sehingga 17 Mei 2022, LBS sudah berjaya memperoleh jualan sebanyak RM593 juta dan tempahan dalam perancangan sebanyak RM561 juta.

Sehingga 30 April 2022, jualan tanpa bil dicatatkan sebanyak RM2.4 bilion akan memberikan pulangan secara positif kepada Syarikat untuk tempoh beberapa tahun ke hadapan.

Mengulas keputusan tersebut, Pengerusi Eksekutif LBS Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya sangat teruja untuk memulakan tahun 2022 dengan semangat baru tanpa dibayangi pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, LBS masih berhadapan dengan suku pertama yang mencabar berikutan kenaikan harga barangan mentah dan kekurangan tenaga pekerja.

"Ini sekaligus memberi kesan kepada sentimen pasaran dan industri semasa. Namun, LBS akan terus konsisten dalam mengekalkan keputusan yang terbaik," katanya dalam kenyataan.

Menerusi pengumuman terkini Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR), ia adalah keputusan yang dijangka.

"Umum mengetahui bahawa ini adalah sebahagian daripada urusan dalam menjalankan perniagaan dan kami sudah bersiap sedia.

"Kami percaya bahawa produk kami, sejajar dengan permintaan pasaran harga rumah mampu milik dan berada di lokasi-lokasi strategik yang mampu memenuhi permintaan daripada orang ramai.

"Ini ditambah dengan pengecualian duti setem kerajaan ke atas pembelian hartanah pertama bernilai sehingga RM500,000 untuk warganegara Malaysia bagi perjanjian jual beli yang dilaksanakan antara 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2025," katanya.

Menurutnya, untuk tahun 2022, LBS akan terus membuat perancangan yang teliti berdasarkan prestasi kukuh tahun 2021.

"Peningkatan nilai pemegang kepentingan tetap menjadi keutamaan kami untuk mengekalkan kepercayaan pemegang saham terhadap usaha LBS," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

LBS 0.690

Comments

Login to comment.