Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

BeritaHarian Fri, May 20, 2022 10:42am - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kembali pulih selepas mencatatkan kerugian semalam dan dibuka tinggi pada urus niaga pagi Jumaat, didorong oleh sentimen pasaran yang lebih baik berikutan ketibaan pelancong antarabangsa yang menggalakkan selepas sempadan negara dibuka semula pada 1 April, kata seorang penganalisis.

Dilaporkan seramai 500,000 pelancong antarabangsa telah memasuki Malaysia sejak minggu lepas dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata pihaknya yakin sasaran dua juta ketibaan pelancong dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

Pada 9 .05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.59 mata atau 0.36 peratus kepada 1,555.00 daripada 1,549.41 pada penutupan semalam (Khamis).

Indeks utama penanda aras itu dibuka 2.97 mata lebih tinggi pada 1,552.38.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 176 berbalas 105, manakala 190 kaunter tidak berubah, 1,810 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 110.88 juta unit bernilai RM53.40 bilion.

Bagaimanapun, menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur mungkin terus mengambil sikap berhati-hati dalam tempoh terdekat kerana sentimen pasaran semasa boleh diburukkan lagi oleh keadaan tidak menentu yang berterusan di Wall Street.

Wall Street ditutup rendah berikutan meningkatnya kebimbangan terhadap kesan inflasi yang terus tinggi selain penurunan margin korporat pada masa hadapan, kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

"Dalam pada itu, langkah Indonesia untuk menarik balik larangan eksport minyak sawit boleh memberikan kelegaan kepada pasaran global dan menurunkan harga minyak sawit mentah (MSM). Namun begitu, saham perladangan mungkin berhadapan tekanan jualan berikutan berita ini.

"Sementara itu, pelabur diunjur memberi tumpuan seterusnya pada sektor perbankan dengan menjangkakan pendapatan yang lebih kukuh dan ini menjadi petanda baik di bawah persekitaran kenaikan kadar faedah," katanya.

Ketika ini, harga MSM adalah sekitar paras RM6,000, manakala harga minyak mentah kekal kukuh melebihi AS$112 setong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB naik satu sen, masing-masing kepada RM8.99 dan RM5.05, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing meningkat empat sen kepada RM4.61 dan RM10.06, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.58 .

Bagi saham aktif, Serba Dinamik, SMTrack dan TWL Holdings tidak berubah, masing-masing mencatatkan 14.5 sen, 8.5 sen dan 7.5 sen, manakala Techna-X naik setengah sen menjadi enam sen dan ARB menambah satu sen kepada 12.5 sen.

Antara yang paling rugi, Petronas Gas turun 34 sen kepada RM17.02, Khind Holding susut 20 sen kepada RM3.10, Sarawak Oil Palms jatuh 14 sen kepada RM5.58, KL Kepong lemah 10 sen menjadi RM26.80 dan IOI Corporation lapan sen lebih rendah kepada RM4.31.

Di papan indeks, FBM ACE menguncup 8.57 mata kepada 5,279.60 sementara Indeks FBM Emas Syariah meningkat 26.40 mata menjadi 11,497.12, Indeks FBM Emas meraih 38.26 mata kepada 11,084.53, Indeks FBMT 100 peroleh 38.09 mata untuk mencatatkan 10,759.42 dan FBM 70 mengukuh 44.19 mata kepada 13,140.06.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merekodkan 1.04 mata lebih tinggi pada 198.13, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 77.62 mata kepada 16,671.33 manakala Indeks Perladangan susut 48.19 mata kepada 8,189.14. – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ARBB 0.115
BURSA 6.500
FBMKLCI 1448.950
IHH 6.470
PBBANK 4.420
PETGAS 16.500
SMTRACK 0.070
SOP 4.100
TECHNAX 0.040
TWL 0.065

Comments

Login to comment.