Bekas bos KFC dilantik jadi penasihat korporat BidNow

BeritaHarian Wed, Jun 01, 2022 11:49am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: BidNow, salah satu platform teknologi lelongan terbesar di

Malaysia melantik Datuk Seri Dr Mohamed Azahari Kamil sebagai penasihat korporat yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan beliau dijangka memacu pertumbuhan syarikat dan mengembangkan lagi potensi besarnya untuk jualan lelongan yang mantap.

Dalam peranan baharunya, Mohamed Azahari akan menyumbangkan pengalaman besar beliau dalam dunia korporat untuk memudahkan pengembangan selanjutnya BidNow di peringkat domestik dan antarabangsa, serta memimpin syarikat itu ke peringkat pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).

Mohamed Azahari, yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank Bhd dan Pengarah Urusan Kumpulan QSR Brands (M) Holdings Bhd (yang mengendalikan lebih 1,250 restoran KFC dan Pizza Hut), mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam beberapa industri seperti sebagai perkhidmatan kewangan, hartanah, makanan dan minuman (F&B) serta pendidikan.

Beberapa jawatan pengurusan kanan organisasi swasta dan awam lain yang dipegangnya sebelum ini termasuk KPJ Healthcare Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Bhd, Kumpulan Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Amanah Raya.

Beliau kini adalah Pengarah Bukan Eksekutif di Aurelius Healthcare Sdn Bhd dan SEG International Bhd, serta Penasihat Korporat kepada Titijaya Land Bhd, Ni Hsin Group Bhd dan HCK Capital Group Bhd.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BidNow, Frankie Goh, berkata pihaknya sangat teruja kerana Mohamed Azahari seorang pemimpin yang terbukti dalam dunia perniagaan, menyertai syarikat itu sebagai penasihat korporat.

"Reputasinya bersama dengan kepakaran pengetahuan yang mendalam dan relevan dengan apa yang kami lakukan dalam ruang lelongan dan teknologi, memastikan BidNow akan dapat mengembangkan platformnya secara agresif secara serantau dan akhirnya menjadi platform pembidaan e-dagang sehenti terkemuka untuk jualan produk dan perkhidmatan.

"Pada masa ini, BidNow bukan sahaja salah satu platform dagangan lelongan hartanah terbesar di Malaysia, tetapi juga pasaran e-dagang untuk barangan lain seperti perabot dan peralatan rumah, kenderaan bermotor, barangan mewah, alat elektronik dan tidak lama lagi, 'non-fungible token' (NFT)," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, Mohamed Azahari membawa rekod prestasi yang mantap dalam mengenal pasti strategi pertumbuhan utama dan berjaya meletakkan syarikat untuk berupaya melonjak ke peringkat syarikat permulaan berpertumbuhan tinggi serta peneraju pasaran bernilai berbilion dolar.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

HCK 2.130
KPJ 1.900
NIHSIN 0.105
SEG 0.650
TITIJYA 0.260

Comments

Login to comment.