Bursa Malaysia dibuka hampir tidak berubah, sentimen berhati-hati

BeritaHarian Tue, Sep 26, 2023 10:23am - 7 months View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini rendah sedikit, sejajar dengan sentimen lemah bursa serantau yang lain apabila pelabur mengambil sikap berhati-hati menjelang pengumuman data-data ekonomi utama di Amerika Syarikat dan China akhir minggu ini.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.27 mata kepada 1,443.18 daripada penutupan Isnin pada 1,443.45. Indeks utama dibuka pada paras 1,442.79, turun 0.66 mata.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 184 berbalas 172, manakala 327 kaunter tidak berubah, 1,705 tidak diniagakan dan 12 digantung.

Jumlah dagangan 477.29 juta unit bernilai RM155.61 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, Wall Street mengakhiri kerugian selama empat hari berturut-turut semalaman walaupun terdapat kebimbangan terhadap persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi untuk tempoh yang lama selain jangkaan berlakunya potensi penutupan kerajaan AS.

Walaupun prestasi Wall Street yang positif, ia percaya peniaga akan kekal berhati-hati menjelang pengeluaran data keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS pada 28 Sept, ucapan pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell (29 Sept), data perbelanjaan penggunaan peribadi teras AS (29 Sept), serta data pembuatan indeks pengurus pembelian (PMI) China.

"Bagaimanapun, risiko penurunan sepatutnya terhad di pasaran tempatan kita dengan tumpuan pada Belanjawan 2024 akan datang," kata firma pembrokeran itu dalam nota hari ini.

Mengenai fokus sektor, ia menjangkakan peniaga memberi fokus pada sektor yang lebih defensif seperti utiliti, manakala saham dengan dividen yang lebih tinggi mungkin diutamakan memandangkan sentimen berubah lebih berhati-hati menjelang pengeluaran data ekonomi.

"Kami meramalkan aktiviti perdagangan akan meningkat dalam sektor pembinaan dan bahan binaan menjelang Belanjawan 2024 dengan jangkaan projek infrastruktur mega akan diumumkan," tambahnya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.87, Public Bank menokok satu sen menjadi RM4.19 dan CIMB menambah dua sen kepada RM5.56.

Tenaga Nasional pula susut enam sen kepada RM10.08 dan Petronas Chemicals lemah empat sen kepada RM7.28.

Bagi saham aktif, Parkson meningkat 1.5 sen kepada 34 sen, Tanco naik setengah sen pada 55 sen manakala Metronic dan Borneo Oil tidak berubah pada 1.5 sen setiap satu.

Sementara itu, Evergreen Max Cash mula diniagakan di Pasaran ACE pada harga 32 sen, premium sebanyak 33 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 24 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 2.92 mata kepada 10,701.95, Indeks FBMT 100 lemah 2.81 mata menjadi 10,362.66 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 15.26 mata kepada 10,948.03.

Indeks FBM 70 kerugian 7.89 mata untuk mencatatkan paras 14,276.31 dan Indeks FBM ACE merosot 4.46 mata kepada 5,183.42.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.22 mata kepada 173.96, Indeks Tenaga menambah 0.09 mata kepada 896.24.

Indeks Perladangan pula lemah 1.61 mata kepada 6,903.59 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 20.18 mata kepada 16,202.84.– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BORNOIL 0.010
BURSA 8.230
FBMACE 5296.780
FBMEMAS 12235.740
FBMKLCI 1611.110
PBBANK 4.190
TENAGA 12.660

Comments

Login to comment.