Untung bersih Sime Darby melonjak kepada RM2.29 bilion

HarianMetro Wed, Feb 21, 2024 05:02pm - 2 months View Original


Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Sime Darby Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023 melonjak kepada RM2.29 bilion berbanding RM389 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat kepada RM15.55 bilion, atau 37.7 peratus lebih tinggi, daripada RM11.29 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sime Darby berkata, peningkatan ketara keuntungan bersih itu disumbang sebahagian besarnya oleh keuntungan sebanyak RM2 bilion daripada penjualan Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd (RSDH) pada Disember 2023.

"Keuntungan bersih teras bagi suku tersebut, tidak termasuk keuntungan penjualan, berjumlah RM269 juta atau peningkatan 7.2 peratus daripada suku yang sama tahun lepas," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, dengan selesainya penjualan RSDH itu yang menandakan berakhirnya perniagaan penjagaan kesihatannya, kumpulan tersebut akan menumpukan sepenuhnya kepada pertumbuhan dua perniagaan terasnya, iaitu perindustrian dan motor.

"Kami juga menyelesaikan pengambilalihan UMW Holdings Bhd. Kami sangat teruja dengan pengambilalihan ini, kami akan menambah dua jenama terkemuka, Toyota dan Perodua, ke dalam portfolio kami, membantu kami mengembangkan pendapatan kami dan memanfaatkan nilai selanjutnya untuk kumpulan.

"Usaha sedang dijalankan bagi memastikan penyepaduan UMW yang lancar dan berkesan ke dalam keluarga Sime Darby," katanya.

Bagi tempoh separuh pertama berakhir 31 Disember 2023, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang tinggi berjumlah RM2.88 bilion berbanding RM596 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM29.53 bilion berbanding RM23.47 bilion.

Dalam makluman berasingan, kumpulan itu mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 3.0 sen sesaham, yang akan dibayar pada 27 Mac, 2024.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.460
SIME 2.810
UMW 4.970

Comments

Login to comment.