LBS BINA DEWAN IPD PJ

HarianMetro Sat, Feb 24, 2024 06:00am - 2 months View Original


Kuala Lumpur: Komuniti Petaling Jaya bakal menyaksikan satu lagi mercu tanda pembangunan melalui acara pecah tanah bagi pembinaan Dewan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Pembinaan dewan itu dilihat sebagai usaha untuk memperkasakan kemudahan bagi anggota polis dan mempelbagaikan peluang untuk terbabit di dalam aktiviti bersama masyarakat setempat.

Dewan yang diberi nama Dewan Jaya LBS merupakan inisiatif dan tajaan sepenuhnya oleh LBS Foundation, sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk aktiviti tanggungjawab korporat sosial bagi pihak LBS Bina Group Berhad.

Majlis pecah tanah telah dirasmikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dan turut disaksikan oleh barisan kanan pegawai-pegawai serta Lembaga Pemegang Amanah LBS Foundation, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San yang turut menterjemahkan secara simbolik hubungan erat pihak berkuasa dan masyarakat.

Selain itu, majlis berkenaan turut dianjurkan bersempena dengan sambutan pelantikan Ketua Polis Daerah baharu di mana acara serah tugas 'Baton of Command' berlangsung di antara Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid dan Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar@Ismail.

Serentak dengan itu, acara serah tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Petaling Jaya diadakan di antara Roshimah Chik dan Norshahidah Anuwar dengan disaksikan Pengerusi Perkep Selangor, Datin Liliyana Haryanti Mohd Hairunizam.

Pembinaan Dewan Jaya LBS menzahirkan komitmen LBS Foundation di dalam memberi sumbangan berterusan kepada pembangunan komuniti dan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Dewan Jaya LBS ini bakal digunakan sebagai dewan serbaguna dan menyediakan ruang bagi aktiviti pasukan polis.

Ia juga boleh diguna pakai untuk program latihan, acara komuniti dan pelbagai acara rekreasi yang mampu menjalin ukhwah masyarakat setempat.

Mengulas mengenai acara itu, Lim berkata, secara peribadi, usaha berkenaan membawa makna peribadi dan mengingatkan beliau kepada usaha yang dipelopori oleh mendiang ayahnya, Datuk Seri Lim Bock Seng di dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

"Ia selaras dengan aspirasi LBS Foundation yang memberi fokus utama dan menyumbang semula kepada masyarakat melalui Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar dan Kesihatan.

"Acara pecah tanah ini juga merupakan antara usaha yang bakal memberi manfaat berterusan kepada komuniti pasukan polis dan masyarakat di Petaling Jaya secara amnya," katanya.

LBS Foundation akan terus komited dan menyokong sebarang usaha untuk memperkasakan pasukan barisan hadapan yang begitu banyak berjasa kepada negara dan masyarakat.

Pembinaan dewan ini juga diharap dapat menyuntik impak positif dan mempamerkan hubungan erat di antara pihak berkuasa dan masyarakat.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

LBS 0.685

Comments

Login to comment.