Pasaran saham Malaysia kedua terbaik di Asia Tenggara tahun ini

BeritaHarian Tue, Apr 23, 2024 04:58pm - 1 week View Original


KUALA LUMPUR: Prestasi pasaran saham Malaysia adalah yang kedua terbaik di Asia Tenggara ketika ini selepas Filipina, apabila indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat 5.6 peratus kenaikan dari awal tahun hingga hari ini.

RHB Investment Bank berkata, prestasi itu dibantu oleh perkembangan politik dalam negara yang positif, aliran masuk portfolio asing bersih (diselaraskan oleh penjualan kepentingan ANZ dalam AMMB Holdings Bhd), aliran berita perniagaan yang menggalakkan termasuk memorandum persefahaman mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan laporan suku tahunan menepati jangkaan pada Disember 2023 mengekalkan anggaran perolehan tahun kewangan 2024.

"Namun, ini telah diimbangi oleh kelemahan berterusan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila pasaran kembali mengurangkan jangkaan mengenai kadar potensi pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS dan menyedari bahawa kadar reformasi fiskal berkemungkinan lebih perlahan daripada yang dijangkakan pada mulanya," kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan pasaran, hari ini.

RHB Investment Bank berkata, pihaknya mengulangi prospek optimistik untuk pasaran saham Malaysia pada masa hadapan, seperti yang ditetapkan dalam laporan strategi 2024 yang dibuat oleh bank pelaburan berkenaan.

Ia berkata, kebanyakan berita buruk telahpun diambil kira dan pihaknya percaya pendapatan korporat telah berubah arah.

"Dari segi makroekonomi, RHB Economics positif prospek pertumbuhan global dan tetap yakin dengan berita pemulihan makroekonomi China. Kami juga mengekalkan pandangan bahawa kitaran dasar monetari AS akan mula berbalik pada separuh kedua 2024, dengan jangkaan dua pemotongan kadar.

"Aliran berita utama untuk dipantau termasuk pertumbuhan ekonomi AS dan data inflasi, sebagai tambahan kepada tumpuan penting dalam geopolitik," katanya.

RHB Investment Bank berkata, aset-aset berisiko di Malaysia dijangka terus mencatatkan prestasi baik apabila prospek makroekonomi semakin cerah dengan perolehan syarikat memulih.

"Inisiatif-inisiatif reformasi tempatan sedang dijalankan dan akan menjadi faktor pemangkin utama untuk menarik dan mewujudkan sumber pelaburan langsung asing (FDI) baharu.

"Liputan berita juga dilihat positif dengan nilai ringgit telahpun mencecah paras terendahnya, sekali gus membuka peluang keemasan untuk menerima pelaburan asing yang lebih tinggi.

"Tumpuan pelabur seharusnya lebih terarah kepada syarikat yang bakal memanfaat hab pertumbuhan ekonomi penting iaitu di Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, dengan keadaan pasaran kian cerah kelak.

"Saranan wajaran tinggi diberi kepada sektor seperti hartanah, pembinaan, teknologi, penjagaan kesihatan, pengangkutan, minyak dan gas, utiliti dan barangan getah. Sasaran FBM KLCI akhir tahun 2024 kami kekal pada 1,600 mata," katanya.

Sementara itu, ia berkata saham syarikat bermodal sederhana di Bursa Malaysia berkemungkinan mencatatkan prestasi lebih baik, dengan suku pertama 2024 menyaksikan indeks FBM 70 mengekallan momentum kukuhnya untuk mengatasi prestasi FBM KLCI yang meningkat sebanyak 5.6 peratus.

"Ini disokong oleh aktiviti perdagangan yamg cergas, menyaksikan nilai dagangan meningkat 32 peratus selain prestasi mengagumkan saham-saham berkaitan hartanah, pembinaan dan teknologi.

"Secara keseluruhan, sentimen pelabur mendapat rangsangan besar di tengah-tengah inflasi yang semakin memperlahan dan ekonomi domestik berdaya tahan, di sebalik kelemahan ringgit berbanding dolar AS," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AMBANK 4.200
BURSA 7.680
FBMKLCI 1589.590

Comments

Login to comment.