Kekal prospek positif

HarianMetro Thu, Apr 18, 2024 08:47am - 1 week View Original


Kuala Lumpur: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan prospek positif terhadap sektor penerbangan meskipun ketegangan meningkat di Timur Tengah, trafik penumpang yang berpotensi terjejas di rantau itu dan kos bahan api jet yang turun naik.

Bagaimanapun, ia menganggarkan dalam kes senario terburuk, sekiranya trafik penumpang dari dan ke Timur Tengah terhenti sepenuhnya, pendapatan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dijangka menyusut sebanyak 26 peratus bagi asas tahun penuh, manakala harga sasaran saham (TP) akan turun kepada RM6.61 (-26 peratus).

"Apa yang membimbangkan kami adalah trafik penumpang ke dan dari Timur Tengah akan memberi kesan kepada operasi Malaysia dan Turkiye. MAHB setakat ini belum mengeluarkan statistik lapangan terbang 2023 yang memperincikan trafik penumpang dari rantau itu.

"Mengikut statistik lapangan terbang 2019 (sebelum pandemik), trafik penumpang ke dan dari Timur Tengah menyumbang tujuh peratus daripada trafik penumpang antarabangsa di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan 28 peratus daripada trafik penumpang antarabangsa di (Lapangan Terbang) Sabiha Gokcen Istanbul," katanya dalam satu nota penyelidikan, semalam.

Sementara itu, bagi Capital A dan AAX, Maybank IB berkata, kebimbangan utama ialah kesan harga bahan api jet yang lebih tinggi berikutan keempat-empat syarikat penerbangan Capital A tidak terbang ke mana-mana destinasi di Timur Tengah.

"Walaupun unjuran kami harga pada AS$105 setong untuk bahan api jet semerta, ia tidak jauh daripada AS$104 setong pada ketika ini.

"Jeddah, Arab Saudi, satu daripada destinasi AAX, tetapi destinasi ini hanya menyumbang antara 5.0-7.0 peratus daripada jumlah kilometer tempat duduknya, jadi, seperti Capital A, kebimbangan utama kami untuk AAX ialah harga bahan api jet yang melambung tinggi," katanya.

Bank pelaburan itu mengunjurkan setiap kenaikan AS$1 setong harga bahan api jet, ia akan menurunkan anggaran keuntungan bersih terasnya sebanyak RM14 juta dan TP berasaskan jumlah bahagian (SOP) sebanyak 24 sen.

Ia seterusnya menyatakan bahawa anggaran pendapatan, saranan dan TP sedang disemak.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AIRPORT 10.000
CAPITALA 0.795

Comments

Login to comment.