Maybank Islamic perkukuh operasi pengusaha produk halal
PETALING JAYA: Maybank Islamic Bhd memperkemaskan operasi perniagaan halal dikenali sebagai Halal Route to Market Programme 2.0 (Halmap 2.0) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi kerjasama strategik bersama syarikat e-dagang tempatan, eLOKAL Sdn Bhd.
Menerusi kerjasama itu, 20 pelanggan Maybank Islamic akan memasarkan produk di kedai fizikal seperti Petronas, Petron dan desaMall, malah di platform e-dagang popular termasuk Shopee, Lazada dan Wow Shop bagi memaksimumkan pendedahan jenama produk dan capaian pelanggan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman, berkata sebagai peneraju transformasi digital dalam perbankan, Kumpulan Maybank menerusi Maybank Islamic sentiasa komited untuk menerokai kerjasama strategik bagi memperluaskan akses PKS.
Beliau berkata, inisiatif Halmap 2.0 yang dilaksanakan kali kedua itu juga bertujuan membantu PKS di Malaysia mengembangkan perniagaan halal mereka.
Katanya, ia juga bakal menawarkan teknik terbaik untuk memasarkan produk baharu sambil meningkatkan penawaran kepada pelanggan.
"Selain itu, kami percaya pendigitalan adalah penting untuk daya maju jangka masa panjang dalam era ekonomi baharu, meningkatkan produktiviti serta kemampanan sektor PKS. Justeru, Halmap 2.0 dapat memenuhi semua keperluan ini.
"Maybank Islamic mahu memaksimumkan pendedahan jenama produk dan capaian pelanggan dalam membantu mereka menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
"Inisiatif ini juga menyediakan akses yang lebih baik dan pantas kepada PKS untuk memasarkan produk masing-masing," katanya pada majlis pemeteraian perjanjian antara Maybank Islamic dan eLOKAL di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan eLOKAL, Ahmad Shah Wahid.
eLOKAL adalah syarikat e-dagang tempatan yang menyediakan penyelesaian hujung ke hujung untuk PKS bagi memasarkan produk dan perkhidmatan secara fizikal dan menerusi platform edagang.
Dalam program bersama Maybank Islamic ini, eLOKAL selaku pengedar akan bertanggungjawab antara lain, penghantaran produk ke pengendali rangkaian runcit, semua aktiviti pemasaran serta promosi produk kepada peruncit.
Nor Shahrizan berkata, di bawah operasi perniagaan halal Maybank Islamic untuk PKS, pelanggan bukan saja memperolehi pembiayaan tetapi bank juga akan membantu dalam menjalankan pemadanan perniagaan, menyediakan khidmat nasihat pembangunan produk, bantuan dan perundingan pensijilan halal dan penawaran program eksport halal seperti Halmap.
"Keupayaan perniagaan untuk mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan serta pertumbuhan hasil, seterusnya memacu perniagaan dalam jangka panjang.
"Ia juga dapat mengurangkan kos dengan menyediakan akses yang lebih baik dan pantas kepada maklumat antara perniagaan dan rangkaian perniagaan.
"Selain itu, ia menyediakan hubungan yang lebih baik dengan pelanggan melalui cara yang lebih menarik dan boleh diterjemahkan kepada kepuasan pelanggan yang lebih tinggi," katanya.
The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.
Comments