PCG lengkap ambil alih Perstorp

HarianMetro Thu, Oct 13, 2022 07:05am - 1 year View Original


PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) melengkapkan pengambilalihan Perstorp Holding AB (Perstorp), sebuah syarikat bahan kimia khusus global terkemuka Sweden yang didorong oleh kelestarian.

Berikutan pengambilalihan ini, Perstorp kini menjadi anak syarikat milik penuh PCG.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd Yusri Mohamed Yusof (gambar) berkata, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi step-out kumpulan itu dengan penjanaan platform baru untuk pertumbuhan dalam industri kimia khusus.

"Ia juga melangkaui potensi pendapatan, di mana Perstorp adalah penambahan strategik yang bersesuaian dengan nilai yang serupa dan tenaga kerja berbakat yang mempunyai kepakaran dalam industri," katanya dalam kenyataan.

Pada Mei lalu, PCG memeterai Perjanjian Pembelian Sekuriti dengan Financière Forêt S.à.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang menjadi firma ekuiti swasta Eropah, bagi mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Perstorp.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp, Jan Secher berkata, pengambilalihan itu juga menandakan permulaan baharu dan masa depan yang menarik untuk Perstorp sebagai sebahagian daripada keluarga PCG.

"Kami teruja menerokai peluang boleh diwujudkan melalui usaha sama dengan PCG. Ini akan mempercepatkan fasa perkembangan seterusnya dan mengukuhkan lagi kami sebagai syarikat bahan kimia khusus terkemuka," katanya.

Melangkah ke hadapan selepas pengambilalihan, PCG berhasrat terus mengekalkan dan memperkembangkan nilai Perstorp, memandangkan beberapa tahun yang mendatang akan menjadi detik penting bagi kedua-dua syarikat itu.

"Antara rancangan pembangunan utama termasuk pengembangan Perstorp di persada dunia dengan mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asia Pasifik melalui pengetahuan industri PCG dan memanfaatkan pangkalan pelanggannya yang besar.

"Selain itu, PCG juga berusaha memastikan penyelesaian projek pengembangan Perstorp mengikut jadual yang dirancang secara selamat di samping menjimatkan kos. Perstorp mempunyai beberapa projek yang diatur dalam masa terdekat, termasuk pelancaran Project Air yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon melalui pengeluaran metanol yang mampan," katanya.

Baru-baru ini, Dana Inovasi Kesatuan Eropah memilih Project Air, sebagai salah satu daripada 17 projek teknologi hijau berskala besar, yang akan bersama-sama menerima 1.8 bilion euro (RM8.16 bilion).

Project Air mendorong industri kimia untuk beralih daripada penggunaan bahan mentah fosil kepada bahan suapan yang berasaskan bio dan dikitar semula, justeru menggalakkan penggunaan produk kimia mampan kepada pelbagai industri dan produk akhir.

Pada kapasiti penuh, ia mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) secara global dengan hampir 500,000 tan setahun berbanding paras pada hari ini, bersamaan dengan satu peratus daripada pelepasan semasa di Sweden.

"Kami bersedia untuk mara lebih jauh dalam agenda kelestarian kami. Inisiatif Finite Material Neutral Perstorp akan menjadi pemangkin kepada projek-projek PCG ke arah aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih kami menjelang 2050," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

PCHEM 6.820

Comments

Login to comment.