Affin Hwang AM kini dikenali sebagai AHAM Capital
KUALA LUMPUR: Affin Hwang Asset Management Bhd (Affin Hwang AM) menyempurnakan proses penjenamaan semula yang bakal memberi pengukuhan kepada fasa pertumbuhan seterusnya selepas 20 tahun beroperasi.
Melalui langkah itu, Affin Hwang AM kini akan dikenali sebagai AHAM Asset Management Bhd (AHAM Capital) serta menjenamakan semula logo korporatnya.
Pengarah Urusan AHAM Capital, Datuk Teng Chee Wai, berkata sebagai nama yang sudah digunakan secara meluas dan dikenali oleh pelanggan dan rakan niaga, jenama lebih ringkas ini terus mengukuhkan nilai jenama positif dari segi keupayaan pengurusan aset syarikat dan juga kakitangannya.
Beliau berkata, proses penjenamaan semula itu juga menerapkan aspek visual yang lebih menyerlah dan logo reka bentuk baharu yang menekankan warisan jenama syarikat, di samping mencerminkan evolusi sebagai syarikat pengurusan aset yang moden dan bertumpukan masa depan.
"Identiti jenama AHAM Capital menandakan bermulanya satu perjalanan yang baharu dan menarik bagi kami dan juga pelanggan. Berpandukan nilai teras dan semangat keusahawanan yang sama sejak memulakan operasi pada 2001, kami terus berkembang maju selama ini bersama pelanggan.
"Kami akan membawa perniagaan ke puncak yang lebih tinggi dengan melaksanakan tiga tonggak pertumbuhan strategik iaitu pengurusan kekayaan, inovasi dan pengembangan serantau yang akan memartabatkan AHAM Capital sebagai syarikat pengurusan kekayaan dan aset bebas di Asia Tenggara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Chee Wai berkata, melangkah ke hadapan, AHAM Capital optimis dapat mencapai sasaran aset di bawah pentadbiran berjumlah RM100 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Beliau berkata, kumpulan juga akan mengukuhkan keupayaan pengurusan kekayaan termasuk menyediakan tawaran produk alternatif dan pasaran persendirian.
"Kami juga akan mempelopori inovasi untuk menyokong pembangunan penyelesaian bertumpukan digital yang bakal meluaskan capaian kepada produk pelaburan untuk semua segmen pelanggan.
"Dengan kewibawaan pasukan kepimpinan yang sama, kami tetap komited untuk membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan dan membina masa depan yang lebih cerah dan kukuh.
"Menerusi kerjasama pemegang saham baharu kami, iaitu CVC Capital Partners yang mula mengambil alih kepentingan pada Julai 2022 dan juga Nikko Asset Management yang sentiasa berdiri teguh di belakang syarikat, kami akan terus meneroka sempadan baharu dalam bidang pengurusan kekayaan untuk memperkasakan pelabur dalam persekitaran kewangan yang kian berubah," katanya.
Sejak memulakan operasi pada 2001, AHAM Capital mencatatkan pertumbuhan eksponen dengan meningkatkan nilai aset di bawah pentadbiran (AUA) daripada hanya RM20 juta kepada lebih RM75 bilion (sehingga 31 Oktober 2022).
Kumpulan juga merekodkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM105 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Tahun lalu, AHAM Capital mengisytiharkan agihan pendapatan berjumlah RM1.13 bilion bagi dana-dana runcit dan borong di bawah pengurusannya.
Pada 28 Januari 2022, Affin Bank mengumumkan dana di bawah khidmat nasihat CVC Capital Partners (CVC), sebuah firma khidmat nasihat pelaburan dan ekuiti persendirian global dengan aset di bawah pengurusan bernilai AS$125 bilion, telah bersetuju untuk memperoleh 68 peratus daripada kepentingan ekuiti dalam AHAM Capital.
The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.
Related Stocks
| AFFIN | 2.590 |
Comments