Pasaran emas global dijangka terus meningkat tahun ini

BeritaHarian Fri, Feb 17, 2023 06:36pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Pasaran emas global dijangka menyaksikan permintaan yang agak kukuh pada 2023 berbanding tahun sebelumnya susulan belian ketara di pasaran sedang pesat membangun, terutama negara-negara Asia, kata penganalisis.

Perunding Prinsipal Metal Focus yang berpangkalan di Mumbai Chirag Sheth berkata permintaan dari China dijangka meningkat berikutan pembukaan semula aktiviti ekonominya tahun ini berbanding prestasi tahun lepas yang kurang memberangsangkan.

"Kami menjangkakan terdapat sedikit pertumbuhan (permintaan) dicatatkan di China manakala permintaan di India akan terus berkembang seperti mana sejak dua tahun lepas susulan data-datanya yang amat positif.

"Prestasi serupa juga dijangka di pasaran Asia Timur dengan kebanyakan tumpuan di pasaran ini adalah pemulihan daripada pandemik dengan pertumbuhan pendapatan serta peningkatan aktiviti pelancongan," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Emas Malaysia 2023 yang diadakan buat julung kali di sini, hari ini.

Sheth bagaimanapun mengingatkan bahawa harga emas kekal tidak menentu bagi tempoh berbaki tahun ini akibat beberapa faktor seperti ketegangan geopolitik dan kadar inflasi global.

"Sejak dua tahun hingga tiga tahun lepas, kami melihat harga emas amat tidak menentu akibat faktor perkembangan di peringkat dunia.

"Baru-baru ini misalnya aliran pergerakan harga emas turun naik dalam julat AS$200 dan AS$250 setiap troy auns dengan ketidaktentuan itu dijangka berterusan," katanya.

Beliau berkata, pasaran misalnya mengunjurkan harga emas bergerak dalam lingkungan AS$1,600 dan AS$1,800 setiap troy auns pada tahun ini.

Mengulas peratusan edaran barang kemas emas, Sheth berkata rantau Asia terus mendominasi dengan bahagian pasaran terbesar berbanding negara-negara barat.

Menurutnya, negara-negara Barat itu sebaliknya berperanan dari segi kemudahan hab tapisan dan dagangan emas manakala pusat penggunaan emas, terutama membabitkan barang kemas, lebih ketara di serata rantau timur.

Dalam pada itu, acara persidangan sehari itu dianjurkan oleh Persatuan Emas Malaysia (MGA) yang bertujuan memperkasa industri emas tempatan.

– Bernama

TAG: emas, prospek, permintaan, harga, MGA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.