PMKS perlu segera adaptasi digital

HarianMetro Thu, Mar 23, 2023 07:01am - 1 year View Original


PERUSAHAAN mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu segera beradaptasi dengan penggunaan teknologi digital untuk terus bertahan berikutan perniagaan pada masa kini tidak lagi boleh berjalan seperti biasa.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Datuk Ewon Benedick berkata, perkara ini dapat dilihat dengan jumlah populasi pengguna digital di Malaysia yang dicatatkan tertinggi berbanding negara serantau Asia Tenggara iaitu seramai 25 juta pengguna.

"Ini adalah satu peluang kepada PMKS dan perdagangan e-dagang semakin menjadi tuntutan supaya kita dapat bersaing dalam ruang pasaran yang lebih luas. Malah, ia juga menjadi efektif kerana ia lebih menjimatkan kos untuk menjana pendapatan tanpa perlu menyewa tapak.

"Keadaan ekonomi dunia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 menyedarkan kita bahawa business is no longer as usual (perniagaan tidak lagi boleh berjalan seperti biasa).

"Mengambil kira akan keadaan ini, Kuskop sudah melancarkan MyMall pada 12 April tahun lalu dan platform ini mula beroperasi sepenuhnya pada Oktober tahun lalu dan walaupun kami masih dalam fasa bertatih, sehingga hari ini ekosistem MyMall sudah mempunyai tidak kurang daripada 7,000 usahawan dan 900 produk.

"Platform MyMall ini tidak mengenakan sebarang caj kepada usahawan, justeru usahawan tidak perlu menaikkan harga barangan mereka bagi menampung kos operasi perniagaan mereka di dalam MyMall dan diharapkan platform ini menjadi pemangkin yang dapat melonjakkan kemajuan PMKS negara ini," katanya di majlis pelancaran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan & Raya di Malaysia Grand Bazaar (MGB), di sini, semalam.

Kempen Mari Beli Lokal Ramadan & Raya akan dilaksanakan sehingga 22 April depan dan mempromosikan produk usahawan tempatan secara dalam talian.

Seramai 1,000 usahawan dijangka mengambil bahagian di dalam kempen ini dan Kuskop komited untuk memastikan peningkatan sebanyak 20 peratus usahawan tempatan yang menggunakan MyMall dan RM2.5 juta hasil jualan dapat dijana melalui kempen ini.

Ewon berkata, menjadi hasrat kementerian supaya PMKS tempatan dapat terus berkembang, yang seterusnya membuahkan impak susulan pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus menjadi pemangkin untuk mencapai sasaran sumbangan PMKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2025.

Beliau berkata, kempen ini juga bertujuan memberi sokongan terhadap produk dan perkhidmatan PMKS tempatan dan secara tidak langsung membantu proses pendigitalan PMKS di Malaysia.

Usahawan tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dijemput untuk menyertai platform jualan digital MyMall dengan mendaftarkan perniagaan mereka di www.mymallmalaysia.my atau e-mel ke [email protected].

Bagi yang berminat mendapatkan kelengkapan Ramadan dan raya seperti makanan, pakaian, perhiasan dan pelbagai keperluan lain boleh membuat pesanan menerusi www.mymallmalaysia.my atau aplikasi MyMall 2.0 yang boleh dimuat turun di PlayStore atau AppStore.

Selain menyediakan platform e-dagang tanpa caj, MyMall turut menawarkan akses terhadap pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan dan pemasaran kepada usahawan dan koperasi tempatan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MGB 0.880

Comments

Login to comment.