MGB catat keuntungan kukuh

HarianMetro Fri, May 19, 2023 03:45pm - 11 months View Original


Kuala Lumpur: MGB Berhad (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Berhad yang terbabit dalam solusi pembinaan dan pembangunan hartanah, berjaya merekodkan peningkatan sebanyak 79.59 peratus keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku pertama kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Bagi suku pertama dalam tinjauan, MGB mencatatkan pendapatan sebanyak RM177.76 juta dengan PAT RM12.24 juta, berbanding RM6.81 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Keputusan kukuh ini dijana daripada projek seperti Residensi Bintang Bukit Jalil, Ritma Perdana dan Melodi Perdana di Alam Perdana yang dijangka siap dibina menjelang tahun kewangan 2023.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, 2023 dimulakan dengan langkah yang betul di mana prestasi yang kukuh dicapai MGB sejak penubuhannya.

"Dengan 20 projek yang masih berjalan, MGB dijangka menjana pendapatan kira-kira RM4 bilion pada tahun akan datang dan ini berdasarkan tempahan pembinaan tertunggak sebanyak RM1.78 bilion dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.36 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, di samping itu, MGB turut berjaya memuktamadkan akaun projek yang sudah selesai dengan kontraktor utama sekali gus menyumbang kepada keputusan kewangan.

Menurutnya, segmen pembinaan dan perdagangan adalah penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB dengan RM168.64 juta, manakala segmen keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi tempoh kewangan semasa adalah RM13.40 juta berbanding pada suku tahunan sebelumnya, RM10.91 juta.

Beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan projek dan penyediaan unit kediaman tepat pada masanya dengan cara menjimatkan kos di samping mengekalkan kualiti produk.

"Sambutan projek Rumah Idaman MBI kami amat menggalakkan dan sambutan ini dijangka berterusan untuk baki pelancaran projek dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"MGB turut menjangkakan peningkatan semula projek pembinaan, justeru momentum dapat dikekalkan bagi memperoleh lebih banyak projek pembangunan Rumah Idaman MBI melalui kerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI).

"Kami optimis bahawa MGB berada pada kedudukan yang stabil dan mampu memberikan pulangan yang positif bagi baki 2023, sungguhpun berdepan cabaran kenaikan kadar faedah.

"Namun, ia mungkin tidak memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan MGB kerana nisbah 0.11 dan kami yakin dengan keupayaan untuk mengurangkan sebarang kesan buruk yang mungkin timbul daripada cabaran dan terus konsisten untuk memberikan pertumbuhan yang mampan pada tahun yang akan datang kepada pemegang saham kami," katanya.

Sementara itu, peningkatan prestasi MGB turut disokong oleh segmen pembangunan hartanah dan pembinaan.

Projek Idaman Melur, Cybersouth yang baru dilancarkan berjumlah 1,448 unit, serta perkembangan pesat pada Fasa 3 dan 4 Laman Bayu, Batu Pahat, pemangkin kepada peningkatan segmen terbabit dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan dengan jumlah RM9.12 juta berbanding RM4.58 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

LBS 0.730
MGB 0.800

Comments

Login to comment.