Pernas perlu diletak semula di bawah KPDN

HarianMetro Fri, Jul 07, 2023 12:59pm - 10 months View Original


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berusaha untuk meletakkan kembali Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) di bawah kementerian itu dalam usaha untuk menyelaras serta memudahkan pengurusan industri francais di bawah satu kementerian yang sama.

Ketika ini, akta membabitkan francais terletak di bawah bidang kuasa KPDN, manakala agensi pelaksana iaitu Pernas di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau sudah menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, awal tahun ini, sejurus menerajui kementeriannya bagi memohon supaya Pernas diletakkan di bawah KPDN.

Katanya, perkara berkenaan sudah dibincangkan Kabinet sebelum ini, tetapi masih belum tiada keputusan yang dibuat mengenainya.

"Sasaran kita secepat mungkin supaya Pernas kembali di bawah KPDN dan berkemungkinan tahun ini, namun saya serahkan segala keputusan kepada kebijaksanaan Kabinet terutama Perdana Menteri.

"Beliau juga faham yang sememangnya KPDN adalah kementerian yang mempunyai paling sedikit agensi.

"Kami hanya mempunyai tiga agensi sahaja iaitu Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Oleh itu, jika Pernas dapat dikembalikan kepada matlamat dan objektif asal, ia sudah pasti amat membantu untuk kita terus jadikan industri francais ini sesuatu yang memberi kesan langsung kepada usahawan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ekspo Francais Peruncitan dan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FE MIRF 2023) di sini, hari ini.

Sementara itu, FE MIRF 2023 dijangka mampu menarik pelaburan bernilai RM120 juta daripada pemain industri tempatan dan antarabangsa sepanjang tiga hari berlangsung.

Lebih 400 reruai disediakan membabitkan 200 pempamer, tempatan dan luar negara pameran.

FE MIRF 2023 menjangkakan kehadiran lebih 15,000 orang pengunjung, termasuk bakal pelabur, pemilik perniagaan dan pelanggan.

la berpotensi untuk menghasilkan peningkatan dalam aktiviti perniagaan, transaksi pempamer dan jualan.

Dengan pertumbuhan yang signifikan dalam penyertaan oleh pelabur dan peruncit luar negara seperti Taiwan, Korea, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom Vietnam, India dan Australia, FE MIRF 2023 membawa jenama yang kukuh dan mempunyai permintaan tinggi serta menjadi platform kepada pemegang francais dan pelabur tempatan.

Selain itu, pempamer tempatan turut mempamerkan konsep francais buatan Malaysia yang inovatif, mempersembahkan peluang menarik kepada pelabur untuk menyertai pertumbuhan jenama tempatan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.