Ekosistem koperasi holistik

HarianMetro Tue, Jul 11, 2023 06:00am - 10 months View Original


Kuantan: Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKom 2030) yang bertujuan mewujudkan ekosistem koperasi yang holistik dan kondusif dijangka dilancarkan hujung bulan ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, DaKom 2030 adalah kesinambungan pelaksanaan Dasar Koperasi Negara 2011-2020 yang turut bermatlamat memacu sektor koperasi sebagai pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

"DaKom 2030 kita jangka lancar sempena penutupan sambutan bulan koperasi negara yang diadakan di Sabah pada hujung bulan ini dan akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri 1 (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 bertema 'Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi' yang disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu, Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 yang menggariskan inisiatif bagi meningkatkan keupayaan koperasi dalam menjalankan perniagaan berasaskan teknologi, turut dilancarkan.

Selain itu, lima koperasi dari Zon Timur menerima Pinjaman Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) bernilai lebih RM13.9 juta, manakala lima lagi koperasi menerima geran bantuan pembangunan RM665,000.

Terdahulu, Ewon dalam ucapannya memaklumkan setakat Disember lalu, Pahang mempunyai 1,146 koperasi dengan keanggotaan sekitar 302,000 orang dan berjaya merekodkan perolehan kira-kira RM970 juta sekali gus mencatatkan pendapatan kedua tertinggi di negara ini.

"Sebanyak 10 koperasi di Pahang juga tersenarai dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia bagi 2022 dan antara koperasi yang berjaya menunjukkan prestasi membanggakan adalah Koperasi Serbaguna Dara Berhad yang menduduki tangga ke-17 dengan perolehan sebanyak RM39.1 juta," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.