PETRONAS ambil alih 15 peratus Blok Masela di Indonesia

BeritaHarian Tue, Jul 25, 2023 03:08pm - 2 years View Original


JAKARTA: PETRONAS melalui anak syarikatnya, PETRONAS Masela Sdn Bhd (PETRONAS Masela) semalam menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Shell Upstream Overseas Services (I) Limited (Shell) untuk

memperoleh 15 peratus kepentingan penyertaan dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran Blok Masela (Masela PSC), yang terletak di perairan dalam Laut Arafura Barat, Indonesia Timur.

Pengambilalihan itu adalah hasil kerjasama bidaan bersama antara PETRONAS Masela dan rakan kongsinya, PT Pertamina Hulu Energi (PHE), apabila kedua-dua entiti akan memperoleh keseluruhan 35 peratus kepentingan penyertaan Shell dalam Masela PSC.

PHE menandatangani SPA dengan Shell untuk memperoleh 20 peratus kepentingan penyertaan. INPEX Masela Ltd (INPEX), pengendali Blok Masela, memegang baki 65 peratus kepentingan penyertaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata pemerolehan itu menandakan peristiwa penting dalam pengembangan portfolio PETRONAS di Indonesia.

Katanya, PETRONAS teruja untuk menyertai Blok Masela yang juga salah satu projek strategik utama di Indonesia.

"Penyertaan kami menggariskan komitmen dalam menyokong sasaran pengeluaran Indonesia untuk mencapai siejuta tong minyak sehari dan 12 bilion kaki padu standard sehari gas menjelang 2030.

"Projek ini juga memberi peluang kepada PETRONAS untuk menyumbang kepakaran teknikal kami dalam pembangunan dan pengewangan blok itu, dan akan mengukuhkan lagi portfolio LNG global kami ke arah memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga rendah karbon dari Indonesia dan seluruh rantau.

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami PHE, INPEX dan SKK Migas ke arah membuka potensi penuh aset ini, sambil mengekalkan tumpuan kukuh kami terhadap penjagaan alam sekitar dan pengayaan masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan.

Majlis memeterai SPA itu diadakan semasa Pameran & Konvensyen Persatuan Petroleum Indonesia (IPA) ke-47 di Tangerang, hari ini.

PETRONAS diwakili Tengku Muhammad Taufik serta Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Datuk Adif Zulkifli manakala Shell diwakili oleh Pengarah Kewangan bagi Pengambilalihan, Pelupusan dan NBD Asia, Soo Kuo Tong.

PETRONAS ketika ini adalah rakan kongsi usaha sama di enam PSC terletak di pesisir dan luar pesisir Sumatera, Laut Natuna, Jawa Barat dan Indonesia Timur serta menjadi operator bagi PSC Ketapang, PSC Ketapang Utara dan PSC Madura Utara II, terletak di luar pesisir Jawa Timur.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.