BERLIN: Penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman, Infineon akan meningkatkan pelaburan bagi kemudahannya di Kulim, Kedah ketika ia melaporkan pendapatan suku tahunan yang lebih baik daripada jangkaan dalam pasaran semikonduktor meskipun trend masih bercampur-campur.
Infineon, yang cipnya digunakan dalam kereta dan pusat data, melaporkan pendapatan suku ketiga sebanyak 4.09 euro bilion (RM20.3 bilion), meningkat 13 peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Eksekutif Infineon, Jochen Hanebeck berkata, arah aliran pasaran semikonduktor terus mempamerkan gambaran bercampur dengan permintaan yang tinggi dalam mobiliti elektrik dan tenaga boleh diperbaharui tetapi rendah untuk produk pengguna seperti komputer peribadi (PC) dan telefon pintar.
Untuk setahun penuh, Infineon menjangkakan pelaburan berjumlah sekitar tiga bilion euro (RM15 bilion).
Satu daripada tumpuan pelaburan ialah kemudahannya di Malaysia, yang mana ia merancang untuk membina kilang 200-mm SiC Power Fab terbesar di dunia.
Pengembangan kemudahan fabrikasi di Kulim itu disokong oleh komitmen pelanggan yang meliputi sekitar lima bilion euro (RM25 bilion) dan satu bilion euro (RM5 bilion) lagi dalam bentuk pra-pembayaran.
Infineon berkata, pihaknya akan melabur tambahan sehingga lima bilion euro (RM25 bilion) lagi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ford, China Cherry dan SAIC adalah antara pelanggan pertama daripada sektor automotif, sebagai tambahan kepada SolarEdge dan tiga pengeluar fotovolta terkemuka China.
"Dengan pengembangan Kulim, ia akan menjamin kedudukan kami sebagai peneraju dalam pasaran," katanya.
Firma Jerman itu turut menjangkakan kemudahan yang diperluaskan itu bersama kilangnya di Villach, Austria akan menjana pendapatan tahunan sebanyak tujuh bilion euro (RM35 bilion).
Infineon hari ini mengesahkan prospek pendapatannya sekitar 16.2 bilion euro (RM80 bilion).
Keputusan kewangan suku ketiga Infineon yang diselaraskan susut 10 peratus berbanding suku sebelumnya pada 1.067 bilion euro (RM5.3 bilion), manakala margin lebih rendah daripada jangkaan pada 26.1 peratus.
-Reuters