Muslim Hussain dilantik jadi Pengerusi SME Bank

BeritaHarian Tue, Oct 03, 2023 11:00am - 8 months View Original


KUALA LUMPUR: SME Bank mengumumkan pelantikan Datuk Muslim Hussain sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif berkuat kuasa 1 Oktober 2023.

Beliau membawa bersama pengalaman kerjaya yang luas dalam sektor perbankan, serta latar belakang yang kukuh dalam pengurusan risiko, dasar kredit dan pengurusan portfolio.

SME Bank dalam satu kenyataan berkata, Muslim telah berkhidmat dengan SME Bank sejak 1 September 2018, apabila dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

"Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Lembaga Pengurusan Risiko dan juga berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Lembaga Pembiayaan dan Pelaburan, Jawatankuasa Lembaga Audit serta

Jawatankuasa Lembaga Teknologi Maklumat SME Bank," katanya.

Kenyataan menambah, kerjaya perbankan Muslim menjangkau lebih 35 tahun, apabila beliau memegang jawatan dalam Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Agrobank.

Katanya, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Risiko Agrobank dari 2011 hingga 2016, mempamerkan kepakarannya dalam pengurusan risiko.

"Di Maybank, beliau memegang pelbagai jawatan kanan, termasuk peranan dalam pengurusan risiko, polisi kredit, pengurusan portfolio, dan penilaian kredit," katanya.

Beliau adalah graduan lulusan Universiti Malaya pada 1982 dan juga pernah belajar di Maktab Polis Diraja Malaysia pada 1983.

SME Bank berkata, pelantikan Muslim sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif menekankan komitmen terhadap kecemerlangan kepimpinan dan tumpuannya untuk memupuk pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Katanya, pengalaman dan pengetahuan beliau dalam pengurusan risiko dan operasi perbankan meletakkan beliau sebagai peneraju strategik yang bersedia untuk mengemudi SME Bank ke arah kejayaan yang berterusan.

"SME Bank yakin kepimpinan Muslim akan meningkatkan lagi misi SME Bank untuk memperkasa dan memartabatkan PKS di Malaysia.

"Kepakaran beliau akan memainkan peranan penting dalam membimbing SME Bank ke tahap kejayaan baharu dalam landskap kewangan yang dinamik," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MAYBANK 9.930

Comments

Login to comment.