Bank Rakyat, MNC Kapital tawar transaksi perbankan kepada pekerja Indonesia

HarianMetro Sun, Oct 22, 2023 05:01pm - 7 months View Original


Kuala Lumpur: PT MNC Kapital Indonesia Tbk dan Bank Rakyat hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penyediaan kemudahan pembiayaan patuh syariah serta perkhidmatan perbankan dan kiriman wang kepada pekerja migran Indonesia (PMI) yang bekerja di Malaysia.

Kerjasama itu mewujudkan perkhidmatan perbankan dan kiriman wang rentas sempadan untuk PMI bagi mendapatkan pembiayaan syariah sebelum ke luar negara sebagai modal untuk prosedur pentadbiran serta menyediakan dana kepada keluarga di tanah air.

Bank Rakyat akan bertindak sebagai rakan perkhidmatan perbankan kepada PMI di Malaysia untuk melakukan transaksi pemotongan automatik daripada gaji yang diterima semasa bekerja di Malaysia terus ke akaun MotionBank, perkhidmatan perbankan digital yang dimiliki oleh MNC Kapital.

MoU ditandatangani oleh Direktur Utama PT MNC Kapital Indonesia Tbk, Yudi Hamka dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman.

Majlis disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah Republik Indonesia, Drs Teten Masduki; Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Pengerusi Eksekutif MNC Group, Hary Tanoesoedibjo dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Ewon berkata, kolaborasi strategik antara dua negara itu amat bertepatan dengan agenda di peringkat Asean menerusi konsep Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kerjasama ini mampu menjalinkan pengaturan strategik, memudah cara pergerakan modal insan serta menyokong pengembangan syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran serantau.

"Kolaborasi ini secara tidak langsung mampu memberi impak positif termasuk berupaya membantu memastikan kemasukan PMI adalah secara sah mengikut lunas undang-undang kedua-dua negara selain keterjaminan keselamatan dan perlindungan hak PMI dari segi perkhidmatan perbankan semasa berada di Malaysia," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia juga mampu menambah PMI khususnya dalam sektor pembinaan yang mana dijangka dapat membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia di samping mengukuhkan lagi hubungan bilateral antara kedua-dua negara.

Kerjasama itu memudahkan pemindahan rentas sempadan dan menyediakan pelbagai kemudahan transaksi dalam talian untuk PMI dan keluarga mereka di tanah air.

Perkhidmatan itu juga boleh digunakan oleh PMI untuk membuat tuntutan Keselamatan Sosial Pekerjaan.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat menyediakan perkhidmatan pembukaan akaun simpanan sebagai platform pembayaran gaji kepada PMI selain membolehkan mereka menikmati kemudahan perbankan digital dan rentas sempadan.

"Kemudahan seperti pembayaran dan pemindahan dana atau pengiriman wang kepada keluarga di tanah air akan lebih mudah dan cepat," katanya.

Beliau berkata, bakal PMI yang mendapatkan pembiayaan syariah daripada MNC Kapital akan terus dapat mengakses perkhidmatan perbankan Bank Rakyat semasa di Malaysia.

"Bagi inisiatif ini, PMI dapat membuat bayaran semula pembiayaan secara pemotongan automatik melalui akaun simpanan mereka bersama Bank Rakyat," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.