Cadangan struktur semula hutang Sapura Energy diluluskan

BeritaHarian Wed, Dec 13, 2023 02:33pm - 2 years View Original


KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 75 peratus daripada pembiaya Kemudahan Pembiayaan Pelbagai Mata Wang bernilai kira-kira RM10.3 bilion (Pembiaya MCF) secara prinsipnya telah memberi kelulusan untuk cadangan skim penstrukturan semula hutang (PRS) Sapura Energy Bhd.

Sapura Energy dalam satu kenyataan berkata, pengesahan bertulis itu diterima kumpulan itu daripada Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC).

Katanya, pengesahan itu adalah pencapaian penting dalam Rancangan Penyusunan Semula Sapura Energy, yang merangkumi usaha menangani beban hutang tidak mampan serta bayaran tertunggak kepada pemiutang perdagangan.

"Kejayaan ini mencerminkan komitmen syarikat untuk mewujudkan penyelesaian yang adil dan saksama bagi semua pemangku kepentingan, terutamanya vendor Malaysia yang menjadi usahawan kecil dan sederhana.

"Tindakan ini membabitkan tuntutan kira-kira RM1.5 bilion daripada vendor," katanya.

Sejak September tahun lalu, Sapura Energy dan Pembiaya MCF berunding melalui CDRC bagi mencapai kata sepakat berhubung PRS berkenaan.

Menurut Sapura Energy, kelulusan secara prinsip bagi PRS itu membuka ruang untuk suatu mesyuarat melalui perintah mahkamah yang diadakan bersama pemiutang syarikat itu dan anak-anak syarikat yang berkaitan.

"Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Sapura Energy merakamkan penghargaan mereka kepada ahli CDRC atas bimbingan dan profesionalisme yang tidak ternilai sepanjang proses perundingan.

"Kami juga berterima kasih kepada Pembiaya MCF atas sokongan berterusan terhadap Sapura Energy," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd Anuar Taib.

Antara penasihat utama Sapura Energy ialah PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd; Sage 3; Saheran Suhendran; Rahmat Lim & Partners; Kirkland & Ellis; Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF); dan Albar & Partners, serta penasihat kepada Pembiaya MCF termasuk Kroll, Wong & Partners dan Mayer Brown.

"Kerjasama, wawasan yang strategik dan komitmen mereka memainkan peranan penting dalam pencapaian ini," tambah Mohd Anuar.

Sapura Energy dan penasihatnya akan terus bekerjasama dengan Pembiaya MCF dan CDRC untuk memastikan penstrukturan semula hutang kumpulan Energy untuk diselesaikan dengan tuntas.

Mohd Anuar berkata, dengan adanya kelulusan dasar, Sapura Energy yakin perkara itu sudah menghampiri penghujungnya.

"Ini adalah langkah positif ke arah mengatur semula kedudukan kewangan kami agar Sapura Energy akhirnya tidak lagi berstatus syarikat Nota Amalan 17 (PN17).

"Dengan adanya pelbagai halangan, kami faham jika tidak semua pihak mampu membantu. Justeru, kami amat berterima kasih kepada rakan-rakan niaga yang konsisten memberikan sokongan penuh.

"Kami benar-benar menghargai kepercayaan anda dan memberi jaminan akan terus berusaha untuk memenuhi janji-janji kami mengukuhkan kerjasama antara kita," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

VANTNRG 0.390

Comments

Login to comment.