Cukai LVG melindungi pembuat barangan tempatan

HarianMetro Wed, Dec 20, 2023 02:27pm - 4 months View Original


Kuala Lumpur: Cukai jualan 10 peratus ke atas barang bernilai rendah (LVG) yang akan dilaksanakan 1 Januari depan mampu melindungi pembuat barangan tempatan daripada persaingan barangan luar negara, terutama barangan buatan pengilang dari China.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, cukai untuk LVG yang dijual secara dalam talian itu juga hanya membabitkan barangan import dan bernilai RM500 ke bawah.

"Cukai LVG ini sebenarnya pernah diumumkan oleh kerajaan terdahulu dalam belanjawan negara sehingga perubahan kepada cadangan pindaan kepada Akta Cukai Jualan 2018 untuk mencukai jualan LVG melalui Rang Undang-undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022 dilaksanakan.

"Ia dibentangkan di Parlimen pada Ogos 2022 dan dilaksanakan di bawah Rang Undang-undang itu, malah Seksyen 11A baharu akan diwujudkan yang akan mentakrifkan LVG sebagai mana-mana barangan atau kelas barangan yang ditetapkan di luar Malaysia yang dijual dan dibawa masuk ke Malaysia.

"Undang-undang baharu itu akan meliputi kedua-dua penjual, di dalam atau di luar Malaysia, yang menjual LVG di pasaran online atau mengendalikan pasaran online untuk penjualan dan pembelian LVG.

"Justeru, cukai ini juga seharusnya menjadi pemangkin kepada pengeluar Malaysia untuk meningkat pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk yang lebih kompetitif dan berdaya saing di pasaran tempatan dan dapat menembusi pasaran luar negara," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, pelaksanaan cukai LVG pernah dimohon untuk dilaksanakan pada 2023 tetapi ditangguhkan kerajaan memandangkan ekonomi negara masih lagi dalam fasa pemulihan.

Beliau berkata, pengumuman kerajaan untuk melaksakan cukai LVG tahun depan, mungkin sudah sampai masanya, memandangkan kerajaan mahu menambahkan lagi sumber pendapatan dan mengurangkan defisit perbelanjaan yang meningkat naik pada setiap tahun.

"Ia juga seiring dengan negara lain yang sudah melaksanakan cukai LVG seperti di Singapura, Australia, Switzerland, New Zealand, Norway dan United Kingdom.

"Cuma ia menjadi topik hangat yang dibincangkan masyarakat kerana pengumuman itu dibuat dalam jangka masa pendek iaitu pada Disember dan pelaksanaannya pula pada Januari 2024, jadi terlalu singkat untuk semua pihak menerimanya," katanya.

Minggu lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengumumkan Malaysia akan mula mengenakan cukai jualan sebanyak sebanyak 10 peratus ke atas LVG diimport yang dijual secara dalam talian, mulai 1 Januari 2024.

Malaysia sepatutnya mengenakan cukai LVG sebanyak 10 peratus ke atas barangan berharga di bawah RM500 yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa 1 April 2023, di bawah Belanjawan 2022, tetapi ditangguhkan oleh JKDM pada Mac tahun ini.

Menerusi Soalan Lazim mengenai cukai jualan LVG yang diterbitkan di laman sesawang JKDM pada 6 November 2023, jabatan itu berkata, pengenaan cukai jualan ke atas LVG akan bermula pada 1 Januari 2024, walaupun perundangan cukai jualan ke atas LVG berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

JKDM mentakrifkan LVG sebagai semua barangan, tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok yang dijual pada harga tidak melebihi RM500 dan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.