Bank Muamalat sasar 30,000 pemegang baharu kad kredit

HarianMetro Thu, Feb 22, 2024 10:16am - 2 months View Original


Gambar oleh Ezairi

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyasarkan lebih 30,000 pendaftaran kad kredit baharunya, menjelang akhir tahun ini, disumbangkan terutama melalui pengenalan kad kredit jenama bersama, VISA Infinite-i dan VISA Platinum-i Bank Muamalat dan Pos Malaysia.

Kad kredit jenama bersama itu mengetengahkan prinsip syariah dan menawarkan ganjaran seperti rebat tunai sehingga 8.0 peratus, diskaun untuk produk dan perkhidmatan Pos Malaysia terpilih, Pelan Pembayaran Ansuran dengan sifar kadar keuntungan dan pulangan tunai 1.0 peratus untuk perbelanjaan luar negara.

Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, menariknya kad kredit baharu itu turut mempunyai ganjaran takaful kemalangan perjalanan percuma dan perlindungan takaful percuma untuk baki tertunggak yang mana semuanya ditanggung 100 peratus oleh Bank Muamalat.

Katanya, perkongsian itu menandakan lembaran baharu dalam landskap kewangan Malaysia, menggabungkan kekuatan perbankan Islam dengan jangkauan Pos Malaysia yang meluas dan tiada tandingan.

"Inisiatif strategik ini adalah hasil pemerhatian kami terhadap perkembangan e-dagang di mana keperluan mendapatkan perkhidmatan pos semakin bertambah saban hari.

"Dengan adanya Kad Kredit-i jenama bersama Pos Malaysia ini, ia memberi tambah nilai kepada pelanggan mendapatkan semua ganjaran yang kami tawarkan untuk pemegang kad VISA Infinite-i dan VISA Platinum-i.

"Sasaran kita adalah pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana kad kredit ini amat bagus untuk mereka yang menjalankan perniagaan di platform e-dagang atau online (dalam talian).

"Kad kredit ini tersedia untuk permohonan di semua 68 Bank Muamalat dan lebih 700 Pejabat Pos dan cawangan Pos Laju di seluruh negara dengan syarat gaji minimum RM2,000 dan bagi PKS dinilai melalui penyata bank terkini mereka," katanya kepada media selepas majlis pelancaran kad VISA Infinite-i dan VISA Platinum-i Bank Muamalat dan Pos Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer.

Sementara itu, Brewer berkata, kerjasama itu membantu mengukuhkan portfolio perkhidmatan Pos Malaysia dan memberi pelanggan peluang memanfaatkan rangkaian Pos Malaysia yang luas di seluruh negara.

"Selain daripada lebih 200 perkhidmatan transaksi yang disediakan, kad kredit itu boleh digunakan untuk pembelian di kedai serbaneka kami yang semakin berkembang, Pos Shop," katanya.

Bank Muamalat dan Pos Malaysia juga mempromosikan kempen Pengaktifan Muamalat Posperks yang akan berlangsung dari 1 Mac hingga 30 Jun 2024, menawarkan hadiah menarik kepada pemegang kad baharu.

Pemegang kad yang membelanjakan RM100 dalam satu resit dalam tempoh kempen akan mendapat pulangan tunai sebanyak RM28, selain berpeluang memenangi skuter Modenas Karisma 125S, Samsung TV 65 inci Crystal UHD 4K CU7000, Soundbar B-Series HW-B650 dan Samsung Jet Bot+ Robot Vacuum 60 W Clean Station, menerusi cabutan bertuah.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

POS 0.495

Comments

Login to comment.