Kontrak dalam tangan Dayang Enterprise cecah RM5.4 bilion

BeritaHarian Thu, Nov 14, 2024 11:42am - 1 year View Original


Dayang Enterprise Holdings Bhd.
Dayang Enterprise Holdings Bhd.

KUALA LUMPUR: Dua kontrak perkhidmatan Pan Malaysia yang diraih Dayang Enterprise Holdings Bhd daripada Petronas Carigali Sdn Bhd menyaksikan nilai kontrak dalam tangan penyedia perkhidmatan sokongan minyak dan gas itu kini mencecah RM5.4 bilion.

Dayang Enterprise memperoleh dua kontrak bagi penyediaan penyelenggaraan, pembinaan, dan pengubahsuaian (MCM) serta perkhidmatan pemasangan dan pelaksanaan (HUC) untuk Pakej A3 (Aset SKA Minyak Sarawak) dan Pakej A5 (Aset SBA Selatan Sabah) bagi tempoh lima tahun, dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak selama tiga tahun tambahan dan seterusnya dua tahun lagi.

Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) dalam satu nota penyelidikan berkata, walaupun nilai kontrak baharu itu tidak diumumkan kerana ia bergantung kepada arahan kerja panggilan, namun kedua-duanya dianggarkan bernilai RM3 bilion untuk lima tahun pertama.

"Nilai kontrak RM5.4 bilion terdiri daripada RM4 bilion daripada tiga kontrak MCM dan HUC untuk tempoh lima tahun akan datang, sejumlah RM1.2 bilion untuk Penemuan Integriti Aset (AIF) sehingga 2026, manakala baki selebihnya adalah kontrak MCM dan HUC yang akan tamat pada Disember 2024," katanya.

PublicInvest berkata, kontrak pakej MCM dan HUC yang diraih Dayang Enterprise itu adalah terbesar daripada bahagian Aset Minyak Sarawak, meskipun kumpulan berhadapan persaingan yang sengit.

"Ini adalah bukti kepada rekod pencapaian cemerlang Dayang Enterprise, kesiapsiagaan kemudahan serta keupayaan kewangan dan tenaga kerja untuk melaksanakan kontrak itu.

"Kami percaya kedudukan kukuh Dayang Enterprise di Sarawak adalah penting untuk memastikan kecekapan operasi dalam melaksanakan kontrak MCM dan HUC di negeri itu.

"Sehubungan itu, kami juga yakin syarikat ini akan menjadi peneraju utama bagi pakej kerja penyahlaksanaan terutamanya di Sarawak, yang dijangka dianugerahkan pada pertengahan 2025/2026," katanya.

Mengenai pendapatan Dayang Enterprise untuk suku ketiga tahun kewangan 2024, PublicInvest menjangkakan segmen marin syarikat akan terus mencatatkan pertumbuhan yang ketara berikutan kadar sewa harian yang lebih tinggi dan kadar penggunaan yang meningkat.

Dayang Enterprise mencatatkan kadar penggunaan sebanyak 91 peratus pada suku kedua 2024 dan PublicInvest percaya kadar penggunaan pada suku ketiga akan kekal pada paras yang sama atau lebih tinggi.

"Sementara itu, bagi segmen penyelenggaraan bahagian atasan, kami menjangkakan sedikit kelemahan secara suku ke suku memandangkan kontrak MCM dan HUC sedia ada hampir tamat.

"Secara keseluruhan, Dayang Enterprise dijangka mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang ketara secara tahunan, namun mungkin sedikit mendatar atau lemah secara suku tahunan," tambahnya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

DAYANG 1.790

Comments

Login to comment.