KUALA LUMPUR: Cropmate Bhd mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 TK2025), dengan keuntungan sebelum cukai melonjak 60.9 peratus kepada RM5 juta berbanding RM3.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengeluar baja konvensional itu turut merekodkan hasil sebanyak RM48.6 juta, meningkat 34.6 peratus daripada RM36.1 juta yang dicapai pada suku keempat tahun kewangan 2024 (S4 TK2024).
Margin keuntungan kasar juga menunjukkan peningkatan kukuh kepada 19.1 peratus berbanding 15.6 peratus pada suku sebelumnya, mencerminkan pertumbuhan margin sebanyak 22.4 peratus, sekali gus menandakan kecekapan operasi dan permintaan yang mampan terhadap produk syarikat.
Sebahagian besar hasil Kumpulan, iaitu sebanyak 98.7 peratus, disumbangkan oleh jualan domestik, manakala selebihnya disumbangkan oleh pasaran eksport meliputi Singapura, Indonesia, Vietnam dan Sri Lanka.
Pengarah Urusan Cropmate, Lee Chin Yok, berkata prestasi kukuh yang dicatatkan itu mencerminkan ketahanan model perniagaan serta peningkatan permintaan terhadap baja berkualiti tinggi di pasaran.
"Bergerak ke hadapan, kami komited untuk terus memperkukuh operasi, memperkenalkan inovasi produk baharu serta menyampaikan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Chin Yok berkata syarikat kekal berhati-hati terhadap cabaran dalam landskap ekonomi global yang tidak menentu dan kesan terhadap sektor pertanian.
"Walaupun kami berpuas hati dengan momentum semasa, kami sedar akan risiko makroekonomi dan halangan luaran yang berpotensi menjejaskan prestasi sektor. Namun, asas kami kekal kukuh dan kami bersedia mengharungi cabaran dengan daya tahan serta ketangkasan," katanya.
Sehingga 31 Mac 2025, Cropmate mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat dengan tunai dan baki bank sebanyak RM7.2 juta serta pelaburan jangka pendek berjumlah RM40.3 juta. Aset bersih sesaham dicatatkan pada paras RM0.12.
