KUALA LUMPUR: Keluli bukan sekadar komoditi, sebaliknya tonggak keselamatan dan kedaulatan negara yang mesti dipertahankan, demikian menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mycron Steel Bhd, Tunku Datuk Yaacob Khyra.
Beliau menegaskan, sekiranya sudah tiada lagi kapasiti pengeluaran di peringkat tempatan, ia akan menyebabkan Malaysia bergantung sepenuhnya kepada pengeluar asing yang akhirnya boleh memanipulasi harga serta pasaran.
"Sekiranya kapasiti tempatan pupus, Malaysia akan bergantung sepenuhnya kepada pengeluar asing dan kebergantungan itu pasti akan dimanipulasi. Persoalannya jelas, dalam hal keselamatan negara, sanggupkah kita mempertahankan industri kita sendiri," katanya kepada BH.
Tunku Yaacob berkata, antara isu yang dibangkitkan adalah peningkatan import paip keluli murah dari China yang didakwa berkualiti rendah dan mengancam aspek keselamatan dalam projek pembinaan negara.
"Ini bukan sekadar soal persaingan harga. Paip berkualiti rendah berpotensi mengancam keselamatan nyawa sekiranya digunakan dalam projek pembinaan dan infrastruktur.
"Malaysia mempunyai kapasiti pengeluaran domestik yang mencukupi, maka mengapa kita masih perlu bergantung kepada import yang berkualiti rendah," katanya.
Menurutnya, kerajaan wajar mengutamakan penggunaan keluli buatan Malaysia dalam semua projek domestik sebagai sebahagian strategi kedaulatan ekonomi dan keselamatan awam.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana Malaysia dapat mencapai sasaran pembangunan industri bernilai tambah tinggi seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan kerangka Ekonomi MADANI jika pengeluar keluli tempatan terus dipinggirkan.
"Kerajaan kini menekankan keperluan untuk meningkatkan daya saing industri, beralih ke arah pengeluaran bernilai tambah tinggi serta memperkukuh ekosistem berasaskan digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi teknologi.
"Namun persoalannya, bagaimana Malaysia dapat melahirkan pengeluar keluli berteknologi tinggi sekiranya peluang asas untuk terus bertahan dinafikan," katanya.
Beliau memberi amaran bahawa tanpa dasar perlindungan konsisten, aspirasi untuk membangunkan industri keluli bernilai tambah tinggi hanya akan tinggal retorik.
"Mycron, yang juga satu-satunya pengeluar Cold Rolled Coil (CRC) milik Bumiputera di Malaysia, menggajikan ratusan pekerja tempatan. Kami melabur semula dalam negara, membayar cukai, menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), serta melatih tenaga kerja Bumiputera.
"Pengeksport asing tidak melakukan semua ini. Jika lambakan dibiarkan berterusan, negara berisiko kehilangan kapasiti industri Bumiputera sepenuhnya.
"Jika pengeluar tempatan terus merosot, kilang akhirnya boleh jatuh ke tangan pihak luar. Apabila mereka memonopoli pasaran, harga pasti melonjak kerana mereka tidak mempunyai sebarang tanggungjawab apatah lagi kesetiaan terhadap Malaysia," katanya.
