KUALA LUMPUR: MyDigital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) menjalin kerjasama strategik dengan HONOR Malaysia bagi menyokong inisiatif kerajaan memperluas penggunaan identiti digital di negara ini.
Melalui kerjasama itu, aplikasi MyDigital ID akan dipra-pasang pada telefon pintar keluaran baharu HONOR sekali gus memudahkan pengguna di seluruh negara mengakses perkhidmatan pengesahan digital sebaik sahaja membuka kotak peranti.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada agenda transformasi digital kerajaan yang menyasarkan 15 juta rakyat Malaysia berdaftar dengan sistem MyDigital ID menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, inisiatif itu memudahkan proses pendaftaran kerana pengguna tidak perlu lagi memuat turun aplikasi tambahan atau melalui prosedur yang rumit, selain membuktikan nilai kerjasama antara kerajaan dan peneraju teknologi global.
"Pada masa depan, kami berharap dapat memperluas kerjasama seumpama ini kepada peranti serta platform lain agar akses kepada MyDigital ID menjadi lebih mudah dan inklusif. Apabila kerajaan dan industri berganding bahu, Malaysia akan terus maju," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden HONOR bagi Pasifik Selatan, Justin Li, berkata HONOR berbangga menjadi jenama telefon pintar pertama yang menyokong inisiatif kerajaan Malaysia melalui pendekatan bersepadu itu.
"Ia memperkukuh komitmen kami dalam membina ekosistem perkongsian nilai menerusi kerjasama terbuka serta mendefinisi semula interaksi manusia dengan peranti," katanya.
Li menjelaskan, kerjasama itu akan bermula dengan pelancaran rasmi HONOR X9d 5G yang hadir bersama aplikasi MyDigital ID dipra-pasang. Melalui peranti berkenaan, pengguna boleh mendaftar menggunakan biometrik terus dalam aplikasi bagi mengakses pelbagai perkhidmatan dengan lebih lancar.
"Ia seterusnya mampu mengurangkan risiko penipuan serta memastikan keselamatan pengguna," katanya.
