KUALA LUMPUR: DXN Holdings Bhd (DXN), syarikat jualan langsung kesihatan dan kesejahteraan terkemuka Malaysia, mengorak langkah strategik ke Amerika Latin dengan merancang untuk membuka kilang pemprosesan kopi di negeri Minas Gerais, Brazil.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DXN, Datuk Lim Siow Jin, berkata langkah itu menandakan peluasan operasi kumpulan itu ke pasaran terbesar rantau Amerika Latin, yang kini menjadi penyumbang utama kepada hasil keseluruhan kumpulan.
"Brazil ialah langkah munasabah yang seterusnya di Amerika Latin. Rantau itu kini mendahului pertumbuhan kumpulan, dan kami melihat skala ekonomi, profil demografi serta kesedaran terhadap gaya hidup sihat di Brazil sebagai pelengkap kepada kedudukan kukuh kami sedia ada di Peru dan Bolivia," katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Perniagaan Malaysia-Brazil di sini, hari ini.
Yang turut hadir Datuk Bandar Ibia, Minas Gerais, Gillianno Mamão.
Siow Jin berkata, rantau Amerika Latin kini menyumbang hampir 60 peratus atau lebih RM1 bilion kepada hasil keseluruhan kumpulan bagi tahun kewangan 2025, dan komposisi itu dijangka kekal stabil dalam tempoh terdekat.
Katanya, rancangan pelaburan baharu di Brazil itu bukan sahaja membabitkan pembinaan kilang pemprosesan kopi, tetapi juga pemindahan teknologi dari Malaysia, termasuk kopi rumpai laut, kopi luwak berasaskan fermentasi serta teknologi menghasilkan teh daripada daun kopi, satu inovasi yang dianggap baharu di Brazil.
"Kami bercadang untuk membawa teknologi ini ke Brazil bagi memperkenalkan konsep baharu dalam industri kopi negara itu. Malaysia juga mempunyai kepakaran tersendiri dalam pembangunan produk kopi bernilai tambah," katanya.
Tambah beliau, DXN membuka pejabat berdaftar pertamanya di São Paulo pada April 2024 untuk menyokong kemasukan pasaran, urusan peraturan serta persediaan awal pengedar di negara berkenaan.
"Sejak operasi dimulakan, kami mempunyai lebih 11,000 ahli di Brazil, dan angka ini terus meningkat dengan sambutan positif terhadap produk Malaysia," katanya.
Siow Jin berkata, pemilihan Brazil dibuat kerana iklim dan keadaan tanahnya hampir sama dengan Malaysia, sekali gus memudahkan proses penanaman serta penghasilan bahan mentah menggunakan teknologi tempatan.
"Apa yang kita tanam dan hasilkan di Malaysia boleh terus dilaksanakan di sana tanpa perlu banyak penyesuaian. Ini peluang besar untuk usahawan Malaysia yang ingin mengembangkan perniagaan ke rantau itu," katanya.
Beliau turut mendedahkan kerajaan tempatan menawarkan insentif menarik termasuk 10 hektar tanah percuma bagi projek berkenaan, selain prosedur pelaburan yang mudah dan kos tanah yang jauh lebih rendah berbanding Malaysia.
"Mereka memberi banyak sokongan kepada pelabur luar. Tanah murah, luas dan proses pelesenan mudah. Ini kelebihan besar bagi pelabur Malaysia," katanya.
Beliau menambah, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) rasmi antara DXN dan kerajaan tempatan dijangka dibuat pada pertengahan November ini di Brazil.
DXN kini mempunyai kehadiran kukuh di rantau Amerika Latin termasuk Mexico, Peru dan Bolivia, dengan lebih 10 juta ahli aktif di seluruh dunia, di mana 60 peratus daripadanya berada di Amerika Latin.
Sementara itu, Mamão menyatakan sokongan penuh terhadap rancangan DXN membina kilang baharu di bandar berkenaan serta komitmen untuk membuka pintu pelaburan kepada syarikat Malaysia.
"Sebagai Datuk Bandar Ibia, saya mengalu-alukan rancangan pembinaan kilang besar DXN di bandar kami. Seperti disebut Presiden kami, Luiz Inacio Lula da Silva, Brazil dan Malaysia akan menjadi rakan strategik dalam pelaburan dan pembangunan bersama," katanya.
