KUALA LUMPUR: Hyundai Motor Malaysia (HMY) dan Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) memeterai surat hasrat untuk membuka dua cawangan pengedar baharu Hyundai di Lembah Klang dan Pulau Pinang, yang disasarkan siap pada separuh pertama 2026.
Kedua-dua syarikat berkata perjanjian itu menekankan komitmen berterusan Hyundai terhadap pasaran Malaysia dengan mengukuhkan operasi melalui nilai pelanggan, kualiti perkhidmatan dan kebolehcapaian yang baik.
"Cawangan pengedar baharu ini akan menyokong hasrat Hyundai untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dengan menyediakan kemudahan jualan, servis dan perkhidmatan selepas jualan lebih dekat dengan kawasan penduduk ramai. Pada masa sama, kerjasama ini akan meluaskan jangkauan Hyundai kepada segmen pelanggan baharu serta menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti lebih selamat, pintar dan mampan," menurut kenyataan bersama.
Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen, berkata kerjasama itu bukan sahaja bertujuan meluaskan perniagaan tetapi juga membina kepercayaan dan nilai jangka panjang untuk rakyat Malaysia.
"Kami menghargai EON kerana menyertai kami dalam perjalanan ini memandangkan reputasi mereka yang mantap dan operasi di seluruh negara menjadikan mereka rakan kongsi penting. Melalui kerjasama ini, kami menggabungkan inovasi global dengan kepakaran tempatan untuk menyediakan akses lebih baik, kecemerlangan perkhidmatan dan rangkaian jualan yang boleh berkembang secara mampan," katanya.
HMY dan EON berkata kerjasama ini juga bertujuan memanfaatkan kepimpinan mobiliti global Hyundai bersama kepakaran operasi dan rangkaian EON di seluruh negara.
