KUALA LUMPUR: Alpha IVF Group Bhd terus memperkukuh kehadirannya di Indonesia dengan pembukaan klinik satelit Medan, sekali gus menandakan bandar ketiga operasinya di negara jiran itu selepas Jakarta dan Surabaya.
Pembukaan klinik satelit di Medan ini merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan berperingkat Alpha IVF Group bagi memperluas rangkaian pemerolehan pesakit dan rujukan serantau, khususnya di Sumatera Utara yang merupakan antara wilayah paling padat penduduk di Indonesia.
Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo, berkata pakar rawatan kesuburan terkemuka itu kini hampir melengkapkan pelan pelancaran klinik satelit di Indonesia dengan tiga klinik sudah beroperasi dan kini merancang unuk pembukaan klinik yang keempat.
"Setiap klinik satelit ditempatkan secara strategik sebagai pintu masuk serantau untuk mengukuhkan penglibatan pesakit dan mengoptimumkan rujukan ke pusat IVF teras kami.
"Model cekap modal ini membolehkan kami berkembang secara berdisiplin, mengekalkan konsistensi klinikal dan menyokong pertumbuhan pendapatan mampan dalam jangka sederhana," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Alpha IVF Group, model klinik satelit yang diamalkan membolehkan kumpulan mengesan permintaan awal, memperkukuh penglibatan pesakit serta menyalurkan rujukan ke pusat rawatan IVF teras di Malaysia tanpa memerlukan pelaburan modal yang tinggi.
Sejak memasuki pasaran Indonesia, Alpha IVF Group telah melaksanakan peluasan dengan cekap dan tersusun, dengan Jakarta berfungsi sebagai ibu pejabat operasi sejak Mei 2025, diikuti Surabaya yang memulakan operasi pada Ogos 2025.
Dengan penambahan Medan, Alpha IVF Group kini mempunyai rangkaian rujukan pelbagai bandar yang lebih luas, sekali gus meningkatkan keterlihatan pesakit dan potensi penukaran kepada rawatan IVF.
Klinik satelit Medan akan diterajui oleh Dr Djamin Kartarino, pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) tempatan yang berpengalaman serta mempunyai reputasi kukuh.
Kepimpinannya dijangka menyokong penembusan pasaran, rujukan doktor serta tahap kepercayaan pesakit, yang menjadi faktor penting dalam keputusan rawatan kesuburan.
Klinik di Medan itu dijangka menarik pesakit dari Sumatera Utara serta wilayah berhampiran seperti Aceh dan Riau.
Kedudukan geografinya yang dekat dengan Pulau Pinang turut menyokong aliran pesakit rentas sempadan ke Genesis IVF, pusat IVF kumpulan di Pulau Pinang.
Pada tahun kewangan 2025, prosedur pengambilan ovum atau 'oocyte pick-ups' (OPU) dari Indonesia menyumbang kira-kira 71.4 peratus daripada jumlah keseluruhan OPU Genesis IVF, sekali gus menekankan kepentingan strategik pasaran Indonesia kepada kumpulan itu.
Sebagai pusat hadapan, klinik satelit Medan akan menyediakan perkhidmatan rundingan awal kesuburan, penilaian diagnostik, pendidikan pesakit serta sokongan rujukan.
Pesakit yang memerlukan rawatan pembiakan berbantu lanjutan akan dirujuk ke pusat IVF Alpha IVF Group di Malaysia.
Pendekatan bersepadu ini membolehkan Alpha IVF Group memperluas jangkauan serantau, mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengekalkan standard klinikal dan operasi yang tinggi, selari dengan sasaran kebolehskalaan jangka panjang kumpulan.
